
Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengadakan sesi libat urus “secara lebih terperinci” dengan pihak berkepentingan berkaitan.
Katanya, hasil sesi libat urus akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) pada 20 Mac sebelum dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (akan) mengetuai dan menyelaras sesi libat urus secara lebih terperinci sesegera mungkin,” katanya dalam kenyataan susulan mesyuarat khas Naccol.
“Libat urus ini perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.”
Anwar berkata, mesyuarat hari ini turut mendengar cadangan dan pandangan wakil industri dan NGO, termasuk pesawah dan pengilang, berhubung situasi padi dan beras negara, khususnya mengenai ketersediaan beras pada harga yang munasabah bagi rakyat.
Awal bulan ini, Pengerusi Jawatankuasa Tangani Harga Makanan bawah Naccol Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani, yang berharga RM30 untuk 10kg mulai 1 Mac.
Beliau kemudian berkata, cadangan itu masih belum diluluskan oleh Jemaah Menteri.