
Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad berkata, negeri itu sedia menerima kehadiran pelancong ke pulau peranginan terbabit selepas masalah kebocoran di beberapa saluran paip rentas dasar laut selesai.
Katanya, paras kolam air di Pulau Pangkor menunjukkan trend peningkatan positif, manakala kawasan mengalami gangguan bekalan air termasuk Teluk Nipah, Teluk Dalam dan Sungai Pinang Kecil dilaporkan pulih sepenuhnya.
“Para penggiat pelancongan, termasuk pemilik chalet dan rumah inap yang terjejas akibat masalah bekalan air boleh kembali beroperasi seperti biasa,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, LAP turut meningkatkan bekalan air ke paras optimum bagi daerah Manjung dan melaksanakan pengezonan semula bekalan air di kawasan berdepan gangguan sebelum ini.
“Langkah diambil termasuklah meletakkan lori tangki air dalam mod ‘standby’ untuk digerakkan, selain penyediaan tangki statik di lokasi strategik.”
Walaupun bekalan air di Pulau Pangkor sudah pulih, Saarani berkata, LAP akan terus memantau kestabilan bekalan air bagi mengelakkan masalah sama berulang, khasnya sepanjang kempen Tahun Melawat Perak 2024.
Pada 13 Feb lalu, media melaporkan gangguan bekalan air selama enam hari berturut-turut menjejaskan kehidupan penduduk dan industri pelancongan di beberapa kawasan di Pulau Pangkor.