36 pelancong Malaysia cedera bas terbabas di Thailand

36 pelancong Malaysia cedera bas terbabas di Thailand

Kejadian tengah hari semalam ketika sekumpulan rakyat Malaysia berusia antara empat hingga 70 tahun dalam perjalanan selepas melawat Taman Safari di Kanchanaburi.

Nahas berlaku ketika pemandu bas cuba memotong sebuah lori sebelum hilang kawalan dan terbabas. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Seramai 36 pelancong Malaysia dilaporkan cedera selepas bas persiaran dinaiki mereka terbabit nahas jalan raya di daerah Bo Phloi, Kanchanaburi, di barat Bangkok, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 1.20 tengah hari (waktu tempatan) ketika sekumpulan rakyat Malaysia berusia antara empat hingga 70 tahun dalam perjalanan selepas melawat Taman Safari di Kanchanaburi.

Pemandu bas dan pemandu pelancong, kedua-duanya warga tempatan turut cedera dalam kejadian itu.

Seorang daripada ahli kumpulan itu, Hisyam Rahim berkata nahas berlaku ketika pemandu bas cuba memotong sebuah lori sebelum hilang kawalan dan terbabas.

“Ambulans dihantar ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan yang diperlukan kepada mangsa. Kami kemudian dibawa ke Hospital Bo Phlai di Kanchanaburi.

“Seorang rakyat Malaysia berusia 40 tahun mengalami kecederaan tendon dan menjalani pembedahan di Hospital Paholpolpayuhasena di Kanchanaburi.

“Seramai 35 lagi rakyat Malaysia yang mengalami kecederaan ringan pulang ke hotel selepas menerima rawatan di hospital,” katanya kepada Bernama.

Kumpulan itu sedang mengikuti lawatan ke Thailand dari 21 hingga 24 Feb.

Sementara itu, Duta Malaysia ke Thailand Jojie Samuel berkata sebaik menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan, kakitangan konsular kedutaan telah ke Kanchanaburi pada hari sama untuk memberikan bantuan diperlukan.

“Kedutaan akan memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.