Tukang cuci forensik kental bersihkan sisa ‘tragedi’

Tukang cuci forensik kental bersihkan sisa ‘tragedi’

Rosli Mohd Noor berkata mereka berdepan pelbagai cabaran seperti bau busuk dan bahang memakai PPE.

Petugas ArtClean membersihkan sisa dihasilkan dari mayat reput dan melupuskan barangan peribadi serta perabot yang telah tercemar.
PETALING JAYA:
Bau mencengkam hidung dengan ada kalanya “ditemani ulat”, antara cabaran telah sebati bagi petugas pembersihan forensik setiap kali berdepan tugas membersihkan lokasi penemuan mayat.

Rosli Mohd Noor, 43, penyelia di syarikat pembersihan ArtClean, tugas itu memerlukan mental dan ketahanan kerana mereka bukan sahaja perlu berdepan bau kurang menyenangkan cecair dari mayat terbiar beberapa hari, namun perlu bekerja dalam bahang.

Jelas Rosli, ini kerana mereka perlu memakai sut perlindungan diri (PPE) untuk mengelakkan risiko dijangkiti virus seperti Covid-19.

“Panas, bau dan ‘menghadap’ mayat. Inilah ‘pakej’ kerja kami,” katanya yang bekerja dalam bidang itu sejak tiga tahun lalu ketika ditemui FMT, baru-baru ini.

Rosli Mohd Noor.

Rosli berkata cabaran lain juga termasuk ada waris enggan mendedahkan punca kematian yang mungkin mendedahkan mereka kepada bahaya jangkitan dan risiko penyakit lain.

“Pernah kami uruskan lokasi penemuan mayat seorang warga emas, waris tak beritahu penyakitnya dan hanya beritahu mati akibat sakit tua…biasa kalau kes itu tak perlu guna PPE, memadai pelitup muka dan apron.

“Rupanya si mati ada Covid-19 dan batuk kering…mereka tak bagitahu kerana bimbang kami enggan datang bersihkan,” ceritanya.

Tugas pembersihan forensik membabitkan kerja menghilangkan sisa dihasilkan badan yang reput, membersihkan ruang dan melupuskan barangan peribadi dan perabot yang telah tercemar.

Namun di sebalik pelbagai cabaran itu, bapa kepada tiga anak itu berkata tugas berkenaan bukan sekadar pekerjaan tetapi amal jariah dengan niat membantu mengurangkan beban waris.

“Mungkin ini bukan kerja impian tetapi pada saya kita anggap bantu orang,” katanya.

Berkongsi pengalaman di lapangan, pemilik ArtClean Mohd Ariff Mohd Yunos berkata sering kali emosinya terusik apabila menggambarkan saat-saat akhir seseorang sebelum menghembuskan nafas terakhir, terutama yang meninggal dunia keseorangan.

“Ini meninggalkan kesan apabila kita pergi ke rumah atau tempat unattended death (kematian tanpa pengawasan), kita boleh nampak cara hidupnya…nampak kesan dia tengah nak merangkak, pegang dinding berdasarkan darah ditinggalkan,” ujarnya yang berusia 39 tahun.

Selain kematian mengejut dan bunuh, Ariff berkata kes mencabar lain pernah dikendalikannya termasuk menguruskan lokasi mangsa maut akibat jatuh dari tingkat 50 bangunan.

“Bayangkan kami juga kena bantu cari dan kutip anggota badan yang berkecai, impak jatuh cukup kuat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.