Spanco: SPRM rakam keterangan bekas menteri kewangan

Spanco: SPRM rakam keterangan bekas menteri kewangan

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata siasatan sedang berjalan dan tidak tolak kemungkinan bekas perdana menteri dipanggil.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata beliau menyerahkan kepada pegawai penyiasat sama ada ada keperluan memanggil bekas perdana menteri yang terlibat dalam isu perolehan Spanco.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah merakam keterangan bekas menteri kewangan melibatkan siasatan perjanjian kerajaan dengan Spanco Sdn Bhd, berhubung kontrak ditandatangani antara 2020 dan 2021.

Ketua Pesuruhjaya, Azam Baki, berkata pihaknya masih meneruskan siasatan dan tidak menolak kemungkinan memanggil bekas perdana menteri.

“Siasatan sedang berjalan dan akaun terlibat masih dibekukan. Kami belum mengambil keterangan daripada bekas perdana menteri, tetapi kami sudah merakam keterangan bekas menteri kewangan.

“Kes Spanco berkait dengan kontrak ditandatangani antara 2020 dan 2021. Justeru, saya serah kepada pegawai penyiasat – jika mereka memikirkan bekas perdana menteri tidak terlibat, jadi tidak perlu dipanggil,” katanya.

Bagaimanapun, Azam tidak mendedahkan nama yang dipanggil untuk membantu proses siasatan.

Bulan lalu, Azam berkata SPRM melakukan siasatan terhadap kontrak RM4.5 bilion bagi perolehan dan pengurusan fleet kenderaan kerajaan.

Beliau dilaporkan berkata, SPRM mahu meneliti mengapa syarikat berkenaan diberikan kontrak itu.

Beberapa tokoh termasuk pegawai tinggi kerajaan dan ahli perniagaan dijangka dipanggil untuk menjelaskan isu itu kepada SPRM.

Spanco dilapor memegang konsesi untuk membekal dan menguruskan fleet kenderaan kerajaan sejak 1993, walaupun kontrak tamat pada 2019.

Tender terbuka dilaksanakan pada tahun itu dengan usahasama antara Berjaya Group dan Naza Sdn Bhd dilapor berjaya memperoleh surat niat bagi kontrak tersebut.

Namun, Berjaya menyaman Putrajaya dan Spanco tahun lalu, atas dakwaan konsesi dibatalkan dan diserahkan kepada Spanco, pada 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.