
Sinar Harian melaporkan Majistret Nurul Asyifa Redzuan memerintahkan Abdul Mustaqim Mohd Tab, 31, melakukan kerja kebajikan tiga jam sehari selama tiga bulan selepas menimbang rayuannya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja memberi pegawai penyiasat Ahmad Firdaus Abdullah maklumat bertulis palsu menyebabkannya melakukan siasatan yang tidak patut dilakukan di pejabat pegawai penyiasat bahagian siasatan IPD Sungai Siput kira-kira 1 tengah hari 9 Feb lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, hasil siasatan mendapati hasil jualan roti RM950 yang didakwa disamun dua lelaki bermotosikal Yamaha 125Z di tepi jalan Hospital Sungai Siput adalah rekaan tertuduh kerana telah menggunakan wang itu untuk membayar hutang kepada rakannya.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Siti Hajar Hamzah yang mewakili tertuduh merayu dikenakan denda minimum atas alasan ini kesalahan pertamanya dan perlu menanggung ibu bapanya dengan pendapatan RM40 sehari.