Malaysia catat jumlah pelaburan lulus tertinggi pada 2023

Malaysia catat jumlah pelaburan lulus tertinggi pada 2023

Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi iaitu sebanyak RM329.5 bilion.

Pelaburan asing penyumbang utama kepada jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2023, iaitu sebanyak 57.2%. (Gambar Pexels)
KUALA LUMPUR:
Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM329.5 bilion pada 2023, meningkat 23.0% daripada 2022, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pelaburan asing merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2% berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8%.

“Prestasi cemerlang ini disokong oleh peningkatan sebanyak 35.1% dalam pelaburan domestik dan sebanyak 15.3% dalam pelaburan asing,” katanya dalam kenyataan.

Perkara itu dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN).

Perdana menteri berkata, landskap pelaburan negara yang memperlihatkan prestasi amat memberangsangkan mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi sepanjang lebih setahun pentadbiran kerajaan Madani.

“Secara tidak langsung, ini merupakan petanda bahawa dasar mesra pelaburan dan mesra perniagaan yang dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh kerajaan mula membuahkan hasil dalam meningkatkan keyakinan pelabur,” kata beliau.

Jumlah pelaburan yang diluluskan tersebut melibatkan 5,101 projek dan berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu.

Sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan tertinggi, menyumbang lebih daripada separuh (51.1%) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu RM168.4 bilion, diikuti sektor perkilangan sebanyak RM152.0 bilion (46.1%) dan sektor utama sebanyak RM9.1 bilion (2.8%).

Sementara itu, mesyuarat juga membincangkan hala tuju pelaburan digital negara, selaras perkembangan sektor ekonomi digital yang semakin pesat dan merupakan antara sektor ekonomi yang penting dalam memperkukuh agenda pelaburan.

Ekonomi digital yang menyumbang sebanyak 23.2% kepada KDNK pada 2021, diunjur meningkat kepada 25.5% menjelang 2025.

Bagi tempoh 2021-September 2023, sebanyak 396 projek berkaitan digital diluluskan dengan nilai pelaburan sebanyak RM128.9 bilion merangkumi projek diluluskan melalui Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan.

Pelaburan dalam projek digital dijangka mewujudkan 36,553 peluang pekerjaan.

Anwar berkata, antara pelaburan digital diluluskan adalah dalam sektor pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data, analisis data besar, dan kecerdasan buatan.

Menurutnya, kehadiran syarikat digital terkemuka dunia dan peneraju pasaran global memberi isyarat penting bahawa Malaysia mempunyai tarikan dan ekosistem pelaburan yang kondusif untuk pelaburan digital.

Justeru, kerajaan perlu memudahcara sebaik mungkin pelaburan digital berpotensi tanpa sebarang kompromi terhadap aspek berkaitan keselamatan data dan kedaulatan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.