Jual diesel kepada syarikat tiada lesen, pemborong didenda RM95,000

Jual diesel kepada syarikat tiada lesen, pemborong didenda RM95,000

Chin Kok Keong Trading didakwa menjual 10,920 liter diesel kepada Syarikat K2 Bitumen Sdn Bhd pada Disember 2022.

Chin Kah Hei, 30, mewakili Chin Kok Keong Trading, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. (Gambar Bernama)
IPOH:
Sebuah syarikat pemborong minyak diesel didenda RM95,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas pengarah syarikat itu mengaku bersalah atas tuduhan menjual barang kawalan berjadual kepada syarikat tidak berlesen dua tahun lepas.

Hakim Azizah Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas Chin Kah Hei, 30, mewakili Chin Kok Keong Trading membuat pengakuan dan memerintahkan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Chin yang juga rakan kongsi perniagaan syarikat itu, yang memegang lesen borong, didakwa menjual 10,920 liter diesel kepada Syarikat K2 Bitumen Sdn Bhd yang tidak mempunyai lesen atau kelulusan bertulis daripada pegawai bekalan di Taman Perindustrian Tungzen, Kampung Kepayang, Batu Gajah pada 28 Dis 2022.

Tuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan kesalahan bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan sama dibaca bersama Seksyen 22(4) yang boleh dihukum bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya, sementara kesalahan berulang memperuntukkan denda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Hasyutantee Khalil, manakala syarikat dan tertuduh diwakili peguam Teoh Chin Cheong.

Terdahulu, Teoh merayu anak guamnya dikenakan hukuman minimum atas alasan pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa mahkamah dan perniagaannya amat merosot, selain memiliki banyak hutang dengan bank yang belum dijelaskan.

Hasyutantee bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Chin supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.