
Sambil mengingatkan bahawa parti pemerintah harus berdepan rakyat ketika pilihan raya, penganalisis politik itu memberi amaran sokongan akan merosot sekiranya janji tidak ditunaikan.
Katanya ketika ditemubual Zaid Ibrahim, Perdana Menteri Anwar Ibrahim “patut fokus kepada janji yang pernah dicakapkan itu, sejauh mana dibikin.”
Pada 13 Sep, CNA melaporkan Anwar berjanji untuk melaksanakan reformasi ekonomi dan tadbir urus negara, tetapi menekankan bahawa proses itu akan memakan masa.
Anwar mengaitkannya dengan rasuah sistemik dan pandangan sinis rakyat terhadap pemimpin politik dalam pentadbiran terdahulu, yang dilihat mengayakan diri dan hidup dengan mewah.
Zaid dalam audio siarnya berkata rakyat sedia maklum bahawa banyak unsur menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup, termasuk faktor “yang tak dapat elak” seperti peperangan, turun naik pasaran global, dan dasar perdagangan.
“Saya nak tahu apa yang kita buat, itu sahaja,” katanya.
Bekas menteri undang-undang itu percaya rakyat semakin kecewa dengan ahli politik di pihak pemerintah dan pembangkang.
“Apabila kerajaan tak buat apa dikata dan pembangkang pun tiada kesungguhan mengutarakan dasar mereka, rakyat yang terkesan.
“Saya bimbang semangat rakyat akan pudar,” katanya.