Menteri Sarawak kenang jasa Taib, anggap ahli strategi hebat

Menteri Sarawak kenang jasa Taib, anggap ahli strategi hebat

Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan bekas Yang di-Pertua Negeri itu membawa perubahan dan keharmonian kaum di Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata Allahyarham Abdul Taib Mahmud (berkerusi roda) seperti ‘bapanya’. (Gambar Pejabat Karim)
PETALING JAYA:
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan Abdul Taib Mahmud seperti “bapanya”.

Beliau berkata, Taib membawa perubahan dan kesatuan kepada negeri itu menerusi “politik pembangunan”, pendekatan tadbir urus menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi dan pemodenan.

“Keamanan, harmoni antara kaum, kestabilan politik dan pertumbuhan yang kita lihat di Sarawak adalah sumbangannya. Beliau berwawasan dan ahli strategi yang hebat,” katanya kepada FMT.

Taib, 87, bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak meninggal dunia di Kuala Lumpur, pada 4.40 pagi tadi.

Abdul Karim Rahman Hamzah (kiri) di samping Abdul Taib Mahmud menyambut kedatangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika lawatan kerja ke Sarawak. (Gambar Pejabat Karim)

Karim pernah berkhidmat di bawah Taib sebagai setiausaha politik, dan kemudian kepada ketua setiausaha politik, bermula 2000 hingga 2011.

“Saya menganggap beliau seperti bapa dan mentor, malah mewarisi kerusi (DUN) saya di Asajaya daripadanya apabila beliau mengambil keputusan berpindah ke Balingian daripada Asajaya, di kawasan tengah Sarawak pada 2001,” katanya.

“Beliau akan sentiasa dirindui. Saya mengucapkan takziah dan simpati kepada isteri dan ahli keluarganya.”

Abdul Karim Rahman Hamzah (kiri) hadir bersama Abdul Taib Mahmud ketika pelepasan jemaah umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, beberapa tahun lalu. (Gambar Pejabat Karim)

Taib merupakan pimpinan kerajaan negeri paling lama berkhidmat apabila menjadi ketua menteri Sarawak selama 33 tahun, bermula 1981 hingga 2014.

Beliau juga menjadi Ahli Parlimen kedua paling lama berkhidmat, mewakili Kota Samarahan selama 38 tahun, antara 1970 hingga 2008.

Taib berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri bermula 2014 hingga penghujung bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.