
Menurutnya lagi, pindaan dijangka dibentangkan pada perhimpunan agung khas 2 Mac depan itu selari dengan Perkara 49A Perlembagaan, merujuk kepada Akta Anti Lompat Parti.
“Pindaan kita buat hampir sama dengan Umno dan DAP. Sebagai ahli parti kena akur sebarang keputusan dibuat oleh parti termasuk ‘enam orang’ itu,” katanya kepada FMT, sambil merujuk pada Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Mereka yang masih mengaku sebagai ahli parti kena akur perlembagaan telah diubah. Kalau tak setuju boleh keluar parti… maka gugurlah kerusi diwakili.”
Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Menurut Rafiq, sekiranya mereka enggan mengosongkan kerusi, maka Bersatu akan menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul untuk mengarahkan mereka berbuat demikian.
“Terpulang kepada speaker untuk buat keputusan. Kalau kami tak puas hati ia akan dibawa pula ke mahkamah,” katanya.
Perhimpunan agung khas Bersatu untuk meminda perlembagaannya akan diadakan di Pusat Konvensyen Ideal IDCC Shah Alam pada 2 Mac depan.
Semalam, FMT melaporkan kenyataan Suhaili yang menegaskan hanya speaker Dewan Rakyat dan mahkamah boleh menamatkan riwayat politik beliau serta lima lain yang menyokong Anwar.
Johari pula berkata tiada keperluan untuk enam wakil rakyat terbabit mengosongkan kerusi sekiranya mereka masih ahli parti.