
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata pihak mendapat keuntungan daripada “projek khas” PAS negeri itu sudah tentu Umno, yang sebelum ini tidak disenangi penyokong bukan Melayu Pakatan Harapan (PH).
“Bila gerakan dibuat besar-besaran, ini akan menakutkan pengundi bukan Melayu terutama sekali penyokong PH yang sebelum ini tidak mahu menyokong calon Umno, akan mengundi (Umno).
“…. kerana alternatifnya PAS sukar untuk tarik undi bukan Melayu tanpa kerjasama Bersatu dan Gerakan,” katanya kepada FMT, mengulas slogan “PAS for All” dilancarkan PAS Selangor untuk menawan negeri itu pada PRU16.
Ketua Penerangan PAS Selangor Zurk Ahmad berkata parti itu yakin akan memimpin Selangor pada PRU16 sekali gus menjadikan negeri itu lebih berdaya saing, dengan pendekatan “PAS for All” merangkumi semua kaum dan agama.
Pada PRN Ogos lalu, Perikatan Nasional (PN) menang 22 DUN sekali gus menafikan penguasaan dua pertiga gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menguasai 34 daripada 56 kerusi.
Presiden PAS Hadi Awang ketika merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-69, Oktober tahun lalu, mengarahkan anggota parti itu menarik undi bukan Islam pula setelah berjaya menguasai sokongan Melayu.
Ironinya, Azmi berkata sukar untuk PAS meraih undi bukan Melayu tanpa bantuan rakannya dalam Bersatu dan Gerakan menerusi platform Perikatan Nasional (PN), yang lebih terbuka pendekatan politiknya.
“Bersatu dan Gerakan landasan terbaik untuk PN menarik undi bukan Melayu sama juga dalam kerajaan perpaduan… bukan Amanah atau PKR tetapi sandaran terbaik tarik undi Melayu adalah Umno tetapi parti itu perlukan sokongan penyokong PH.
“Sama juga dengan PAS, mereka memerlukan sokongan Gerakan dan Bersatu kerana stigma negatif PAS itu terlampau ekstrem melekat pada pengundi bukan Melayu,” katanya.
Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berpandangan PAS mendahului rakannya, Bersatu dan Gerakan dalam merancang strategi PRU16 berkait dengan krisis keyakinan susulan tindakan beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang bertindak menyokong Anwar Ibrahim.
“(Selepas peristiwa itu) ini adalah waktu sesuai untuk PAS menggerakkan langkah dan strategi ini sangat sesuai dan berkesan untuk menjenamakan semula parti itu dalam kalangan pengundi bukan Melayu khususnya di kerusi bandar,” katanya.
Beliau juga yakin PAS mampu menembusi undi kelompok bukan Melayu sekiranya parti pimpinan Hadi Awang itu menjauhi naratif perkauman sempit yang sering dimainkannya di pentas ceramah politik.
“Jika PAS berjaya mengolah persepsi baharu dan mengajak ke arah politik harmoni dan dilihat matang dalam perbahasan dasar, tidak ada masalah untuk PAS diterima di kalangan pengundi bukan Melayu,” katanya.