Dokumen Lembaga Pengampunan bukan sulit, kata peguam Najib

Dokumen Lembaga Pengampunan bukan sulit, kata peguam Najib

Shafee Abdullah berkata, salah untuk mengatakan bahawa dokumen mengenai keputusan mengurangkan hukuman bekas perdana menteri itu adalah sulit.

Peguam Shafee Abdullah menunjukan wartawan surat yang mempunyai cop Agong, pada 7 Feb lalu.
KUALA LUMPUR:
Dokumen berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman penjara dan denda Najib Razak bukannya sulit, kata peguam bekas perdana menteri itu Shafee Abdullah.

Shafee berkata beliau hanya menunjukkan kepada wartawan surat dengan cop Agong pada 7 Feb kerana beliau tidak mendapat kebenaran Najib untuk mendedahkan kandungan dokumen itu pada masa berkenaan.

“Bukan kerana ia (dokumen) sulit,” katanya dengan menjelaskan bahawa kerahsiaan dokumen berkenaan tiada kaitan dengan keputusannya.

“Ia dokumen awam. Cuma saya tidak mendapat izin anak guam.”

Shafee yang bercakap dalam forum bertajuk “Justice and Mercy: A Forum on Reforms to the Pardons Board in Malaysia” berkata, salah untuk menyatakan bahawa dokumen itu adalah sulit.

Pada 2 Feb lalu, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Lembaga itu turut mengurangkan dendanya daripada RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Lembaga Pengampunan dikatakan telah mencadangkan supaya Najib menjalani baki tempoh hukumannya, menurut petikan surat dibacakan oleh Shafee pada satu sidang media.

Berikutan itu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa Lembaga Pengampunan menjelaskan sama ada Shafee melanggar undang-undang apabila mendedahkan maklumat “sulit” berhubung proses permohonan pengampunan Najib pada sidang medianya itu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.