Pengamal perubatan tradisional & komplementari berdaftar dapat pengecualian cukai

Pengamal perubatan tradisional & komplementari berdaftar dapat pengecualian cukai

Pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang berdaftar dengan KKM di bawah Akta 775 akan dikecualikan cukai perkhidmatan 8% yang akan berkuat kuasa 1 Mac.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju untuk memberikan pengecualian cukai kepada pengamal perubatan tradisional dan komplementari.
PETALING JAYA:
Pengamal perubatan tradisional dan komplementari (PT&K) yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (Akta 775) akan dikecualikan cukai perkhidmatan 8% yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac, menurut Kementerian Kewangan.

Sehubungan itu, pengamal PT&K yang telah berdaftar bawah Akta 775 tidak perlu berdaftar dengan kastam dan seterusnya tidak mengenakan cukai bagi perkhidmatan seperti perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, homeopati, kiropraktik, osteopati dan amalan pengubatan Islam.

Keputusan itu juga terpakai ke atas perkhidmatan yang disediakan oleh pusat kesihatan atau kesejahteraan, rumah urut, atau tempat seumpamanya yang dikendalikan oleh pengamal PT&K yang berdaftar bawah Akta 775 bagi perkhidmatan tersebut, untuk tempoh sebelum 1 Mac.

“Keputusan yang dipersetujui oleh perdana menteri dan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim ini langkah untuk meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

“Pada masa yang sama, Kerangka Ekonomi Madani juga akan giat memperkasakan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menggajikan hampir separuh tenaga kerja di Malaysia,” katanya.

Menurut kenyataan oleh Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan itu lagi, langkah ini susulan keputusan kementerian agar perkhidmatan yang disediakan premis-premis tersebut yang dikendalikan oleh pengamal berdaftar tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan bercukai berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024.

“Maklum balas ini juga telah mengambil kira perbincangan daripada sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri PT&K,” katanya

Amir berkata kerajaan akur bahawa jauh lagi landasan untuk melebarkan sayap PMKS tempatan ke persada antarabangsa.

“Maka pengusaha tersebut memerlukan kebergantungan permintaan domestik untuk kemandirian perniagaan mereka buat masa ini, lebih-lebih lagi bagi PMKS yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.