Kawasan khas merokok bukan pusingan U oleh KKM, kata persatuan kanser

Kawasan khas merokok bukan pusingan U oleh KKM, kata persatuan kanser

Pengarah Urusan NCSM, Dr M Murallitharan berkata sebaliknya langkah itu akan mewujudkan lebih banyak kawasan larangan merokok.

Kementerian Kesihatan mempertimbangkan membenarkan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Cadangan membenarkan kawasan khas merokok di premis makanan yang mempunyai kawasan sempit tidak akan “menormalisasi” perbuatan merokok, kata Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM).

Mengulas kritikan terhadap kenyataan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad bahawa kerajaan mempertimbangkan langkah itu, NCSM berkata cadangan itu bukannya satu “pusingan U” dalam usaha memerangi amalan merokok.

“Ia lanjutan daripada usaha lebih meluas untuk mewujudkan lebih banyak kawasan larangan merokok di tempat awam.

“Sebagai sebuah organisasi yang bekerja secara khusus dalam landskap kawalan tembakau, Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia mahu menjelaskan naratif tidak benar terhadap isu ini.

“Kementerian mencadangkan membenarkan kawasan khas merokok yang bukannya berada dalam kawasan larangan merokok, tetapi di kawasan berhampiran premis larangan merokok,” kata Pengarah Urusan NCSM, Dr M Murallitharan dalam satu kenyataan.

Murallitharan menjelaskan premis larangan merokok merujuk kepada lokasi khas seperti hospital, sekolah dan kemudahan lain di mana orang ramai tidak dibenarkan merokok.

“Untuk restoran dan premis makanan terutamanya, larangan merokok ini tidak hanya terhad kepada tempat tersebut tetapi juga dalam radius tiga meter dari tempat itu.

“Perlu difahami, di luar radius tiga meter, seseorang itu bebas untuk merokok”.

Katanya, kawasan larangan merokok merujuk kepada seluruh kawasan yang diwartakan di bawah undang-undang di mana orang ramai tidak boleh merokok sama sekali.

“Ini termasuk beberapa beberapa taman dan lokasi popular, lokasi seperti keseluruhan Jonker Walk di Melaka. Penting diingatkan bahawa dalam seluruh kawasan ini, orang ramai tidak boleh merokok.”

Murallitharan berkata mengekalkan kawasan larangan merokok, dan menetapkan kawasan khas merokok akan menyumbang kepada usaha menghapuskan amalan merokok dalam jangka panjang, kerana ia menyampaikan mesej jelas bahawa merokok bukan dalam norma-norma sosial.

“Kelebihannya sangat jelas. Daripada puntung rokok dibuang di merata-rata tempat, ruang tertentu boleh ditetapkan untuk tujuan ini, dilengkapi dengan tong sampah untuk memudahkan pembuangan sisa.

“Kawasan merokok yang ditetapkan ini harus sederhana dan memaparkan mesej-mesej untuk berhenti merokok dan promosi kesihatan, direka untuk merangsang perubahan tingkah laku dalam perokok yang menggunakannya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Kesihatan akan mempertimbang langkah menyediakan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit sepertimana dilakukan di negara maju seperti Singapura, Jepun dan Hong Kong.

Penekanan tersebut diberi kepada premis di kawasan sempit dan agak sukar mematuhi jarak tiga meter untuk merokok yang dikuatkuasakan ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.