Raghad buat laporan dakwaan ‘larikan’ Taib

Raghad buat laporan dakwaan ‘larikan’ Taib

Isteri bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu berkata beliau dan Abdul Taib Mahmud sedia beri kerjasama kepada polis.

Raghad Kurdi Taib berkata laporan tidak benar berkait dirinya dan suami, Abdul Taib Mahmud menimbulkan tekanan dan kekeliruan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Raghad Kurdi Taib, isteri Abdul Taib Mahmud membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau membawa keluar bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak daripada hospital swasta, di Kuching, awal bulan ini.

Raghad dalam kenyataan berkata dakwaan beliau bertindak mencabut peralatan perubatan pada badan Taib tanpa memaklumkan kepada petugas kesihatan”sangat tidak benar”.

Beliau menjelaskan Taib tidak dilarikan daripada Pusat Pakar Perubatan Normah seperti didakwa kerana sudah mendapat kebenaran pelepasan Dr Tan Sian Kong pada 3 Feb, untuk beliau menghadiri janji temu di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL).

“Keputusan membawa Taib ke kediamannya berdasarkan kebenaran pemakluman dan haknya memilih mendapatkan rawatan terbaik.

“Semua dokumen diperlukan menurut prosedur hospital telah ditandatangani dan semua kakitangan relevan sedar akan pelepasan itu,” katanya.

Raghad turut menjelaskan Taib turut menikmati sokongan rawatan 24 jam di rumah meliputi penjagaan jururawat, lawatan doktor, peralatan, dan ubat sementara menunggu kemasukan ke CVS Kuala Lumpur.

Menurutnya, dakwaan palsu berkait suaminya menimbulkan tekanan dan kekeliruan.

“Saya memfailkan laporan polis untuk menyangkal dakwaan tidak berasas ini dan melindungi hak dan privasi Taib memilih penjagaan kesihatan sendiri.

“Kami bersedia memberi kerjasama penuh kepada polis dalam sebarang siasatan,” katanya sambil menambah tindakan undang-undang akan diambil terhadap hospital itu jika perlu.

Namun, Raghad tidak mendedahkan bila dan di mana laporan polis itu dibuat.

Beliau menasihatkan orang awam tidak melayan laporan salah berkait Taib yang berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Sarawak dari 1 Mac 2014 hingga 26 Jan lalu, sebelum digantikan Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Polis sebelum ini menyiasat dakwaan Taib dibawa keluar dari sebuah hospital mengikut Seksyen 336 kanun Keseksaan.

Menurut laporan polis yang tular, seorang ahli keluarga terdekat mengeluarkan semua peralatan perubatan pada tubuh Taib tanpa memaklumkan kakitangan hospital.

Taib kemudian diletakkan di atas kerusi roda dan diusung keluar dari hospital dan dibawa menaiki sebuah kenderaan.

FMT menghubungi Pusat Pakar Perubatan Normah untuk mendapatkan komen dan masih menunggu maklum balas mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.