
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia itu telah menjemput majlis agama Islam, mahkamah syariah dan jabatan agama Islam negeri untuk memberi pandangan.
“Saya difahamkan sesi libat urus itu di peringkat akhir, jadi laporan belum lagi disediakan. Insya-Allah saya akan bincang dengan PM (Anwar Ibrahim) selepas itu.
“Kita akan bawa semula cadangan pindaan RUU355 ini kepada Kabinet untuk mendapat keputusan dasar sebelum dibawa ke Parlimen (tahun ini),” katanya ditemui selepas perasmian Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan disempurnakan Anwar.
RUU 355 diluluskan Jabatan Peguam Negara pada 7 Okt 2022 dan sepatutnya dibentangkan pada sidang Parlimen hujung bulan itu.
Bagaimanapun, proses itu terbantut akibat pembubaran Parlimen.
Penggubalan semula Akta 355 hasil Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil Ke-27 pada 2021 akan menyeragamkan kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.
Mengulas kritikan Presiden PAS Hadi Awang yang mendakwa negara Islam hilang integriti kerana mengekalkan ‘undang-undang penjajah’, Na’im meminta semua pihak menghormati titah Sultan Selangor selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Menurutnya, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah meminta semua pihak menghormati termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan mebabitkan kes Nik Elin.
Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan memihak petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang membuat penghakiman bertentangan berkata pemfailan petisyen tu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Tengku Maimun dalam penghakimannya menegaskan petisyen itu tiada kena-mengena dengan isu kesucian agama Islam atau kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini.