
Ketuanya Dr Akmal Saleh berkata isu ekonomi dan kos sara hidup semakin meningkat perlu menjadi keutamaan jika mahu mendapat sokongan masyarakat secara keseluruhan.
“Ini sepatutnya diutamakan, bukan sentuh isu sensitif orang Melayu.
“Kita boleh berkawan tapi jangan melampaui batas. Sesiapa yang melampauinya, maka kami akan tentang habis-habisan,” katanya kepada FMT.
Akmal yang juga exco Melaka mengulas amaran Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui bahawa Umno akan hilang undi bukan Melayu selepas dilihat menjadi semakin konservatif susulan tentangan terhadap cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan dunia Unesco.
Chow turut berkata tingkah laku Umno itu tidak jauh berbeza daripada Perikatan Nasional (PN), yang tidak disenangi pengundi bukan Melayu khususnya dalam kalangan ahli DAP.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming sebelum ini dilaporkan bercadang mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan dunia, bertujuan untuk mengiktiraf perkampungan berusia 76 tahun itu dari segi sejarah dan kepentingan budaya.
Beliau mengajak Umno berbincang susulan kenyataan beberapa pemimpin parti itu yang dilaporkan menolak keras cadangan itu.
Kelmarin, Nga yang juga naib pengerusi DAP bagaimanapun berkata beliau enggan memanjangkan isu itu kerana dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak polemik dan salah tafsir oleh pelbagai pihak.
Justeru menurutnya, lebih baik isu berkenaan tidak terus dipanjangkan dan fokus kepada agenda lain yang lebih memberi faedah kepada rakyat.