Kerajaan yakin capai KDNK lebih kukuh pada 2024

Kerajaan yakin capai KDNK lebih kukuh pada 2024

Kerajaan juga tekad untuk terus mengecilkan defisit fiskal kepada 4.3% tahun ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pertumbuhan permintaan domestik yang berterusan menggambarkan agenda pembaharuan oleh kerajaan mula membuahkan hasil. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan yakin mampu mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh, antara 4% dan 5% pada 2024 disokong oleh asas yang kukuh dan pembaharuan yang digariskan dalam Ekonomi Madani dan Belanjawan 2024.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan berkata susulan pemetaan strategi pertumbuhan ekonomi baharu Malaysia melalui kerangka Ekonomi Madani, kerajaan akan mempercepat pelaksanaannya pada tahun ini untuk merangsang pertumbuhan ekonomi baharu dan merealisasi pembaharuan dan keadilan sosial.

“Kerajaan bertekad untuk terus mengecilkan defisit fiskal kepada 4.3% tahun ini, sejajar dengan komitmen dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

“Kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal kepada 5% pada 2023 daripada 5.6% pada 2022,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Menurut kementerian, Ekonomi Madani menekankan kepentingan mengislahkan ekonomi Malaysia bukan sahaja untuk menangani cabaran sistemik yang sejak sekian lama berakar tetapi juga memberikan tumpuan kepada bidang pertumbuhan yang mampan dan berdaya tahan.

Belanjawan 2024 menekankan komitmen kerajaan terhadap pengurusan fiskal yang bertanggungjawab dan penyasaran semula subsidi, katanya.

Katanya, penjimatan daripada langkah tersebut dapat disalurkan sebagai bantuan kepada golongan rentan dan memerlukan serta meningkatkan prasarana dan perkhidmatan awam.

Sementara itu, kementerian berkata strategi dan inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 akan memacu pelaburan berkualiti dalam industri bernilai tambah tinggi terutamanya dalam industri berteknologi tinggi, peralihan tenaga, dan digital serta seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat.

Mengenai KDNK 2023 yang diumumkan hari ini, katanya ekonomi negara kembali normal dengan pertumbuhan sebanyak 3.7% pada 2023 berikutan pertumbuhan kukuh yang dicatatkan pada tahun sebelumnya (2022: 8.7%).

Pertumbuhan keseluruhan tahun 2023 adalah sedikit rendah berbanding unjuran Belanjawan 2024 iaitu sekitar 4%.

Meskipun persekitaran luaran yang mencabar, kementerian berkata ekonomi negara mencatat pertumbuhan sebanyak 3% pada suku keempat 2023, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan yang meningkat sebanyak 5.2% pada suku tahun tersebut (suku ketiga 2023: 4.8%).

Peningkatan ini membantu mengimbangi penurunan perdagangan luar sebanyak 3.2% berikutan kejatuhan eksport susulan permintaan global yang rendah, katanya.

Kementerian berkata pertumbuhan pada suku keempat 2023 disokong oleh peningkatan asas ekonomi iaitu antara lain pasaran buruh mencatat momentum pertumbuhan positif dengan kadar pengangguran berkurangan kepada paras prapandemik 3.3% pada suku keempat 2023 (suku ketiga 2023: 3.4%).

“Inflasi menyederhana kepada 1.6% (suku ketiga 2023: 2%) menunjukkan keberkesanan strategi kerajaan menyasarkan semula subsidi yang tidak menyebabkan kejutan kepada keseluruhan ekonomi.

“Pada Disember 2023, kadar inflasi mereda kepada 1.5%. Kadar ini adalah lebih rendah berbanding ekonomi negara maju dan serantau yang lain seperti Zon Euro (2.9%), Korea Selatan (3.2%), Amerika Syarikat (3.4%), Filipina (3.9%) dan Indonesia (2.6%),” katanya.

Katanya, pelaburan langsung asing bersih direkodkan sebanyak RM17.1 bilion pada suku keempat 2023 (suku ketiga 2023: RM7.2 bilon).

Anwar berkata pertumbuhan permintaan domestik yang berterusan menggambarkan bahawa agenda pembaharuan oleh kerajaan mula membuahkan hasil yang positif.

“Selain daripada penstrukturan semula fiskal secara berterusan yang memanfaatkan kerajaan dan rakyat, usaha meningkatkan tadbir urus dan mempermudah urusan perniagaan telah merangsang aktiviti ekonomi, seterusnya memulihkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.