
Hong Wai Onn, felo Institution of Chemical Engineers, berkata langkah itu akan membantu menangani kekurangan kritikal buruh berpengalaman dalam sektor tersebut.
Katanya, graduan TVET boleh diletakkan dalam pengoperasian dan penyelenggaraan mesin secara lebih cekap jika silabus program menawarkan pendekatan praktikal untuk diguna pakai dalam industri itu.
“Sebagai contoh, program latihan lain seperti latihan akademik kebiasaannya fokus lebih kepada pengetahuan teori, yang mana saya fikir juga kritikal di negara ini. Namun, ia tidak semestinya sejajar dengan keperluan spesifik diperlukan industri,” katanya kepada FMT.
Inisiatif integrasi penuai kelapa sawit dalam program TVET diumumkan Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani, bulan lalu.
Johari berkata, langkah berkenaan akan menangani kekurangan penuai kelapa sawit kerana industri menanggung kerugian berbilion ringgit akibat buah kelapa sawit tidak dapat dituai.
Hong berkata, industri penuaian kelapa sawit negara masih di peringkat awal menuju automasi.
“Pelatih TVET memainkan peranan sangat penting. Ini kerana mesin memerlukan pengendalian berintensiti dengan graduan TVET diberikan kepakaran diperlukan bagi pengoperasian (dan selenggara) mesin secara efektif,” katanya.
Industri kelapa sawit ketika ini sangat bergantung kepada pekerja asing yang mewakili 70% tenaga kerja, namun berdepan kekangan buruh apabila pandemik Covid-19 melanda.
Pada Januari tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof mendedahkan sektor kelapa sawit mengalami kekurangan 63,000 pekerja asing.
Hong berkata, kekurangan buruh menjejaskan penuaian pada 2022 mengakibatkan negara kehilangan pendapatan hampir RM20 bilion.
“Penekanan perlu diberikan mendapatkan pekerja mahir secepat mungkin,” katanya.
Hong percaya keputusan Johari membenarkan pengambilan pekerja asing sejajar dengan permintaan dalam sektor berkenaan.
“Kita masih perlukan beberapa tahun lagi untuk melahirkan graduan TVET. Membenarkan kemasukan pekerja asing dalam sektor kelapa sawit akan menutup segera lompong,” katanya.
Baru-baru ini, Putrajaya bersetuju membenarkan pekerja asing dibawa masuk dalam sektor tersebut memandangkan terdapat kira-kira 40,000 pekerja diperlukan di ladang sawit.