Sultan Selangor tegur label ‘Black Friday’ keputusan Mahkamah Persekutuan

Sultan Selangor tegur label ‘Black Friday’ keputusan Mahkamah Persekutuan

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata ada ulasan berdasarkan polemik kepentingan pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berhasrat terbabit dalam polemik susulan keputusan Mahkamah Persekutuan, minggu lalu.
PETALING JAYA:
Sultan Selangor menegur kenyataan mengelirukan termasuk gelaran “Black Friday” oleh pemimpin tertentu terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Tanpa menamakan sesiapa, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah pelbagai pihak terutama ahli politik, pengamal undang-undang, akademik dan rakyat biasa telah membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes berkenaan.

Menurutnya, ada ulasan yang memberi penjelasan sebenar tentang kesan kepada keputusan kes itu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Namun demikian ada juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini.

“Malah ada yang telah menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai detik “Black Friday” kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini.

“Beta tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik tersebut,” katanya yang juga pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia sempena Mesyuarat MKI kali Ke-71 di Putrajaya.

Teks titahnya dikeluarkan Pejabat Sultan Selangor.

Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan ketika mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan itu menyifatkannya sebagai sejarah hitam buat umat Islam dan negara.

“Kita amat sedih… ini ‘black Friday’. Jumaat yang hitam kepada undang-undang syariah Islam. Bila satu undang-undang jenayah syariah sesuatu negeri dibatalkan, bermakna undang-undang ini di 14 negeri lain dalam keadaan amat bahaya dan kritikal,” katanya.

Tengku Maimun dalam penghakimannya menegaskan petisyen itu tiada kena-mengena dengan isu kesucian agama Islam atau kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.