
Nahas pada 5.08 petang itu menyebabkan pemandu Proton Saga, Mohd Khairul Abdullah, 19, dan penumpang belakang Norsiah@Bibi Faizal, 14, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga lagi penumpang berusia 8, 16 dan 17 tahun parah serta cedera ringan.
Ketua Polis Sipitang, Mail Sundongi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anggota JPJ Sipitang memaklumkan kemalangan membabitkan Proton Saga dinaiki lima individu.
Katanya, hasil siasatan awal menunjukkan kereta dinaiki mangsa dari sebuah pasar raya dan menghala pulang ke Kampung Sibubu, Jalan Sabah Forest Industries.
“Ketika dalam perjalanan pulang, sebuah kenderaan milik JPJ Sipitang yang sedang melakukan rondaan mengekori kereta itu dari belakang dan memasang ‘beacon light’,” katanya menurut Harian Metro.
Sebaik melihat kemunculan kenderaan JPJ, beliau berkata, pemandu Proton Saga itu memecut dan hilang kawalan di jalan selekoh menuruni bukit menyebabkan ia terbabas ke bahu jalan kiri, sebelum melanggar pokok tumbang.
Akibat pelanggaran itu, pemandu dan penumpang belakang tersepit. Mayat mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Sipitang untuk proses bedah siasat.
“Kebiasaannya, JPJ memasang ‘beacon light’ supaya kenderaan berkenaan berhenti,” kata Mail sambil menambah siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular beberapa video menunjukkan mangsa terselamat mendakwa kereta mereka “dikejar” kenderaan JPJ.