
Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, yang juga bekas menteri undang-undang.
Beliau berkata pihaknya juga akan menganjurkan persidangan meja bulat diketuai Naib Presiden PAS Idris Ahmad, sambil menjelaskan hasil daripadanya akan diangkat sebagai cadangan memperkasa kedudukan perundangan syariah.
“PN memandang serius keputusan berkenaan yang diyakini memberi kesan besar terhadap kedudukan dan skop undang-undang syariah di negara ini,” kata presiden Bersatu itu dalam satu kenyataan.
Perkara berkenaan diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN malam tadi, yang turut dihadiri Presiden PAS Hadi Awang, Presiden Gerakan Dominic Lau serta ahli majlis tertinggi parti gabungan.
“Persidangan meja bulat dan jawatankuasa teknikal ini akan melibatkan penyertaan pakar-pakar perlembagaan dan perundangan Islam, para ulama, ilmuwan Islam dan pemegang taruh yang berkaitan,” tambah Muhyiddin.
Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang membuat penghakiman bertentangan berkata pemfailan petisyen tu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Tengku Maimun dalam penghakimannya menegaskan petisyen itu tiada kena-mengena dengan isu kesucian agama Islam atau kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini.
Sehubungan itu, beliau berpendirian tidak timbul isu mahkamah sivil tidak mempertahankan kedudukan agama Islam atau tidak memperkasakan Mahkamah Syariah.