
Kaji selidik itu mendedahkan 47% responden rakyat Malaysia percaya memeriksa akaun media sosial teman wanita atau teman lelaki baru dikenali sebagai usaha wajar yang boleh diterima, manakala 42% mengakui berbuat demikian ketika baru memulakan janji temu dengan seseorang.
Responden wanita pula bimbang menjadi mangsa pengintaian dalam talian dan pernah berdepan beberapa bentuk keganasan atau penderaan berbanding responden lelaki.
“Sebanyak 46% rakyat Malaysia juga mengalami beberapa bentuk pengintaian dalam talian daripada individu baru mereka kenali, manakala 56% responden sedia berkongsi kata laluan yang berpotensi untuk membolehkan lokasi mereka diakses.
“Selain itu, 42% responden melaporkan beberapa bentuk keganasan atau penderaan daripada pasangan sekarang atau terdahulu; menghantar e-mel tidak diingini (19%); merakam filem atau mengambil gambar tanpa kebenaran (18%); mendakwa dijejaki (17%); akaun media sosial mereka digodam (15%) dan memasang perisian pengintai pada peranti mereka tanpa kebenaran (13%),” menurut kaji selidik itu.
Pengarah Urusan Kaspersky bagi Asia Pasifik, Adrian Hia dalam kenyataan berkata, peralatan perisian pengintai boleh mencetuskan tingkah laku berbahaya dan Kaspersky berusaha menanganinya secara berterusan.
“Kami akan terus meningkatkan kesedaran, berkongsi kepakaran dan bekerjasama dengan rakan kongsi dari sektor awam dan swasta. Ini antara misi utama kami untuk melengkapkan mangsa dengan pengetahuan dan membimbing mereka ke jalan paling selamat bagi mengubah keadaan dalam hal penyalahgunaan digital.”
Pada 31 Mei 2023, kerajaan memperkenalkan Akta Anti-Menghendap di bawah Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan dan peruntukan perintah perlindungan, iaitu mangsa boleh mendapatkan bantuan polis serta memohon perintah perlindungan bagi menghalang pelaku terus menghendap atau menghampiri mereka.
Kaji selidik Kaspersky itu dijalankan Arlington Research dengan menemu bual 21,000 responden dalam talian, iaitu masing-masing 1,000 orang dari pelbagai negara, termasuk Malaysia.