35,000 mohon isi 340 jawatan inspektor polis

35,000 mohon isi 340 jawatan inspektor polis

Pengarah Pengurusan Bukit Aman Azmi Abu Kassim berkata proses temuduga untuk jawatan itu adalah sangat ketat.

Selepas pengambilan inspektor selesai, polis akan memulakan proses pengambilan untuk jawatan sarjan dan konstabel.
PETALING JAYA:
Lebih 35,000 permohonan diterima untuk pengambilan 340 jawatan inspektor polis pada tahun ini, kata Pengarah Pengurusan Bukit Aman Azmi Abu Kassim.

Azmi berkata ini menunjukkan beberapa laporan salah laku membabitkan anggota polis tidak menghalang orang ramai daripada memohon untuk memasuki pasukan keselamatan itu.

Tambahnya, jumlah permohonan pada tahun ini adalah sama seperti tahun sebelumnya.

“Daripada jumlah permohonan dan pertanyaan untuk pengambilan jawatan inspektor polis, saya rasa boleh dikatakan minat untuk jawatan ini adalah sangat tinggi,” katanya kepada FMT.

Kata Azmi, proses temuduga adalah sangat ketat susulan beberapa kejadian salah laku membabitkan segelintir anggota polis sebelum ini.

“Standard untuk semua aspek yang diuji diperketatkan termasuk ujian fizikal, penilaian psikometrik dan temuduga secara bersemuka, bagi memilih calon terbaik,” kata bekas ketua polis Kuala Lumpur itu.

Menurut Azmi, proses temuduga sudah bermula di seluruh negara pada bulan lalu dan keputusannya dijangka keluar pada Mac. Katanya, ia akan disusuli pengambilan untuk jawatan sarjan dan konstabel.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata permohonan untuk jawatan inspektor terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk peguam dan saintis data, serta mereka yang mahir beberapa bahasa.

Kata Saifuddin, minat untuk menyertai pasukan keselamatan itu juga sangat tinggi dengan kualiti pemohon juga sangat tinggi.

“Lain ceritanya sekiranya hanya 500 orang yang memohon,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.