
Mengesahkan perkara itu kepada FMT, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul turut menjelaskan menjadi hak untuk mana-mana Ahli Parlimen mengemukakan usul yang akan diteliti pejabatnya.
“Kita ikut perlembagaan dalam peraturan mesyuarat, itu hak dia (nak kemuka). Kalau dia rasa nak masukkan (usul), dia boleh masuk, atau cuma retorik nak buat kenyataan politik terpulang pada dia… saya tak terlibat.
“Kalau (usul) masuk saya proses, kalau tak masuk saya tak buat apa-apalah,” katanya.
Pada 10 Jan lalu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menggesa Perikatan Nasional (PN) segera mengemukakan usul tidak percaya terhadap Anwar menjelang sidang Dewan Rakyat 26 Feb ini.
Menurut peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, Ahli Parlimen dibenarkan memfailkan notis usul dalam tempoh 14 hari sebelum sidang diadakan. Usul itu kemudian akan dimasukkan dalam aturan mesyuarat pada hari persidangan.
Jika tempoh masa 14 hari itu tidak dipenuhi, ahli Dewan Rakyat masih boleh memfailkan usul tergempar dalam soal membabitkan kepentingan awam, sekurang-kurangnya 24 jam sebelum sidang.
Gesaan untuk menguji keabsahan Anwar itu susulan dakwaan presiden PKR terbabit tiada majoriti mudah 112 sokongan Ahli Parlimen, merujuk kepada gerakan Langkah Dubai.
Beberapa media melaporkan kewujudan perbincangan yang didakwa berlangsung di Emiriah Arab Bersatu antara pemimpin pembangkang dan wakil rakyat kerajaan tertentu bertujuan menjatuhkan pentadbiran Anwar.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata pembangkang tiada kekuatan untuk meneruskan usaha menjatuhkan kerajaan pimpinannya termasuk mengemukakan usul di Dewan Rakyat, sebaliknya terus memainkan propaganda mengaburi penyokongnya.