
Loo berkata, dia mendesak Low untuk mengetahui tentang transaksi berkenaan, tetapi hanya diberitahu supaya jangan bimbang dan dia akan mengendalikan perkara itu.
“Low juga memberitahu saya jika berlaku sebarang kemungkinan, dia mempunyai bukti bahawa ia dilakukan atas permintaan dan pengetahuan Najib,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan.
Ketika itu, peguam bela Shafee Abdullah berdiri dan membantah dengan berkata kenyataan Loo adalah khabar angin. Dalam jawapannya, Deepa berkata bantahan itu harus diambil semasa penghujahan.
Loo, saksi ke-50 pihak pendakwaan, berkata beliau mendapat tahu daripada laporan media pada 2015 dan 2016 bahawa banyak wang dimasukkan ke akaun Najib, dan mendapatkan pengesahan daripada Low tentang tujuannya.
“Beliau memberitahu saya wang itu adalah dana politik untuk BN, terutama Umno,” katanya.
Najib yang menjadi perdana menteri dari 2009 hingga 2018 adalah presiden Umno dan pengerusi BN, sebuah gabungan parti diketuai Umno.
Loo memberi keterangan bahawa dia sering melihat Najib dan Low bersama dalam program berkaitan 1MDB.
Katanya, dia melihat Low memiliki sampul mengandungi surat kosong dengan kepala surat Pejabat Perdana Menteri yang digunakannya apabila perlu.
“Sebagai contoh, saya melihat kepala surat PMO mengenai pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Hazem Abdul Rahman yang disediakan Low di rumahnya di (Jalan) Kia Peng.
“Low memberitahu saya dia akan membawa surat itu ke Pejabat Perdana Menteri untuk ditandatangani Najib,” katanya.
Selain itu, Loo berkata, Low mengiringi Najib ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 2013 di New York.
Beliau juga berkata, Low kemudian dilihat menunggu Najib di sebuah hotel di New York selepas mengatur pertemuan dengan pelabur AS dengan kerjasama Goldman Sachs, sebuah bank pelaburan.
Mengenai rakan sekutu Low, Tan Kim Loong, Loo berkata dia mengenalinya sebagai rakan dan kali pertama bertemu dengannya di pejabat UBG pada 2009.
“Pada masa itu, Tan, yang juga dikenali sebagai Eric Tan atau Fat Eric, merupakan rakan kongsi perniagaan kepada Low dan terlibat dalam perniagaan restoran dan hartanah,” katanya.
Pegawai Penyiasat SPRM, Nur Aida Arifin, semalam memberitahu mahkamah siasatannya mendedahkan bahawa Najib menerima wang daripada Blackstone, Tanore Finance Corporation dan Vista Equity International, milik Tan.
Najib berdepan 25 pertuduhan kerana salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan bersambung.