Agong perkenan RCI Batu Puteh, Raus dilantik pengerusi

Agong perkenan RCI Batu Puteh, Raus dilantik pengerusi

Bekas ketua hakim negara Md Raus Sharif akan mengetuai RCI dianggotai tujuh pesuruhjaya itu.

Pada 24 Jan lalu Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji pengendalian perkara berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Dalam kenyataan, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri berkata, kerajaan turut mendapat perkenan pelantikan bekas ketua hakim negara, Md Raus Sharif sebagai pengerusi RCI itu.

Enam lagi yang dilantik dalam pesuruhjaya RCI itu adalah bekas hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali sebagai timbalan pengerusi.

Ahli lain adalah pengamal undang-undang Baljit Singh Sidhu, bekas dekan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya Johan Shamsuddin Sabaruddin, Pakar Undang-undang Perlembagaan dan Undang-undang Pentadbiran Faridah Jalil, Pegawai Kewangan Johor Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengarah Laut Wilayah Selatan Jabatan Laut Malaysia Dickson Dollah.

“Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri Zamri Misman diperkenan oleh Agong sebagai setiausaha RCI.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri akan bertindak sebagai urus setia,” katanya dalam kenyataan.

Pada 24 Jan lalu, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Setiausaha Jemaah Menteri, Mohd Zuki Ali, berkata penubuhan RCI itu dibuat selaras Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan keanggotaan akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 2018, pentadbiran Dr Mahathir Mohamad ketika itu menarik balik permohonan semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan Batu Puteh milik Singapura.

Tahun lalu, pasukan petugas khas ditubuhkan untuk mengkaji kes itu mendapati Mahathir mungkin membuat kesilapan apabila menarik balik permohonan tersebut.

Pada masa sama, peguam negara ketika itu Idrus Harun berpandangan keputusan menarik balik permohonan tersebut sebagai “tidak teratur” dan “tidak wajar”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.