Rombakan exco, Adun Johor Lama gugur

Rombakan exco, Adun Johor Lama gugur

Norlizah Noh yang juga exco pendidikan, penerangan dan komunikasi diganti Adun Tanjung Surat Aznan Tamin.

Adun Tanjung Surat Aznan Tamin menggantikan Adun Johor Lama Norlizah Noh selaku exco pendidikan, penerangan dan komunikasi. (Gambar Facebook TMJ)
PETALING JAYA:
Adun Johor Lama Norlizah Noh yang juga exco pendidikan, penerangan dan komunikasi Johor gugur dalam rombakan exco Johor, hari ini.

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi, berkata tempat Norlizah kini diganti Adun Tanjung Surat Aznan Tamin.

Beliau berkata, pelantikan dan penstrukturan semula portfolio exco kerajaan negeri itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Patik juga menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan dan penstrukturan semula portfolio exco kerajaan negeri serta berangkat ke Istiadat Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang baharu hari ini.

“Tahniah kepada Aznan yang mengangkat sumpah memegang jawatan exco kerajaan negeri Johor. Semoga apa yang dititahkan kepada beliau dapat dilaksana dan digalas dengan baik,” katanya dalam kenyataan.

Onn Hafiz juga menyuarakan penghargaan kepada Norlizah atas segala khidmat dan baktinya.

Katanya, pelantikan dan penstrukturan semula portfolio barisan exco itu diyakini mampu memacu Johor ke arah lebih baik.

Dalam rombakan tersebut, Onn Hafiz juga bertanggungjawab ke atas portfolio pelancongan. Ini menjadikan portfolio menteri besar itu merangkumi exco hasil bumi, pentadbiran, kewangan, perancangan, pembangunan ekonomi dan pelancongan.

Empat exco kekal dengan portfolio sama – Adun Buloh Kasap, Zahari Sarip (exco pertanian, industri asas tani dan kemajuan luar bandar), Adun Bukit Permai Mohd Jafni Md Shukor (exco perumahan dan kerajaan tempatan).

Selain itu, turut kekal Adun Semerah Mohd Fared Mohd Khalid (exco hal ehwal agama Islam), dan Adun Serom Khairin Nisa Ismail (exco pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat).

“Bagi lima Exco yang berubah portfolio adalah Adun Tenggaroh K Raven Kumar (exco perpaduan, warisan dan budaya), Adun Larkin Mohd Hairi Md Shah (exco belia dan sukan, pembangunan usahawan dan koperasi), dan Adun Yong Peng Ling Tian Soon (exco kesihatan dan alam sekitar),” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, turut bertukar portfolio – Adun Paloh Lee Ting Han (exco pelaburan, perdagangan, hal ehwal pengguna dan sumber manusia) dan Adun Bukit Pasir Mohamad Fazli Mohamad Salleh (exco kerja raya, pengangkutan, infrastruktur dan komunikasi).

Perlantikan exco baharu Johor itu berlangsung pagi tadi di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene di hadapan Tunku Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.