

Jinaidi Nasiran, 55, berkata ketika itu beliau sedang menukar tayar kereta di kawasan rumahnya, yang bertentangan dengan lokasi kejadian.
“Pesawat itu menjunam laju, jatuh dalam pukul 1.30 petang… saya terus ke lokasi terhempas. Saya lihat pesawat itu sudah berkecai dan sedikit tertanam di dalam tanah.
“Saya cuba juga tengok jika ada mangsa, tapi tidak kelihatan,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Seorang peniaga, Siti Zubaidah Salin, 60, yang tinggal kira-kira 150 meter dari kawasan kejadian berkata semasa kejadian beliau terdengar dentuman kuat dan merasa gegaran, yang pada mulanya disangkakan gempa bumi.
“Mak cik sedang berehat dalam rumah, baru balik meniaga, tiba-tiba rasa macam gempa bumi. Mak cik keluar ke rumah tengok kalau jadi apa-apa tapi tiada apa berlaku, tiba-tiba dengar orang bising ‘pesawat terhempas’,” katanya.
Seorang peniaga buah, Sufian Hadi Abas, 45, berkata beliau mendengar satu letupan kuat dan nampak serpihan-serpihan pesawat berterbangan bersepah semasa kejadian.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan awal petang ini mengesahkan pesawat ringan model BK 160 Gabriel terhempas di Kapar, Selangor hari ini.