Penjawat awam dinilai melalui sistem DEEP mulai tahun ini

Penjawat awam dinilai melalui sistem DEEP mulai tahun ini

Melalui sistem itu kaedah penilaian bermula dengan mata 100% dan demerit dikenakan jika penjawat awam gagal mencapai objektif ditetapkan.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata sistem DEEP dibuat bukan untuk menghukum mana-mana pihak tetapi bagi memastikan sistem penilaian penjawat awam relevan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Semua penjawat awam akan dinilai menggunakan sistem Demerit Performance Evaluation (DEEP) bermula tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu dipersetujui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurutnya, melalui sistem itu kaedah penilaian bermula dengan mata 100% dan demerit dikenakan jika penjawat awam berkenaan gagal mencapai objektif ditetapkan.

“Tujuan kita perkenal (DEEP), kaedah penilaian baharu adalah untuk pastikan pertamanya kita buat penilaian atas keupayaan dan kesungguhan pegawai laksana tanggungjawab diberikan.

“DEEP ini kita bagi (markah) 100%. Kita demerit kalau katakan tidak capai petunjuk prestasi utama (KPI) atau tugasan gagal laksana,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat 2024.

Terdahulu dalam ucapan amanatnya, Zuki berkata sistem DEEP dibuat bukan untuk menghukum mana-mana pihak tetapi bagi memastikan sistem penilaian relevan.

“Penilaian tepat dan adil adalah mustahak dan ia akan memberikan impak (kepada perkhidmatan awam),” katanya.

Sementara itu, beliau meminta seluruh warga perkhidmatan awam memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kita semua perlu pastikan dasar diperkenal kerajaan disokong sebaik mungkin di semua peringkat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.