Gagal bayar tuntutan RM503,221, pengarah syarikat umrah mengaku tak salah

Gagal bayar tuntutan RM503,221, pengarah syarikat umrah mengaku tak salah

Dua pengarah syarikat yang juga suami isteri dituduh melakukan kesalahan itu di Kota Bharu dari April hingga September 2023.

Zulkarnain Endut dan Mazuin Mustafa didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Dua pengarah syarikat pengendali pakej umrah didakwa di Mahkamah Majistret atas 51 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), untuk membayar balik tuntutan wang berjumlah RM503,221 kepada 17 bakal jemaah umrah.

Pengarah syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd yang juga suami isteri Zulkarnain Endut, 43, dan Mazuin Mustafa, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.

Zulkarnain dan Mazuin dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat TTPM Kota Bharu dari April hingga September 2023.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria, memohon mahkamah supaya Zulkarnain dan Mazuin masing-masing dikenakan ikat jamin RM102,000, namun Majistret Ahmad Syafiq memerintahkan kedua-dua tertuduh diikat jamin berjumlah RM10,200.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Hanif Hassan, juga dikehendaki melaporkan diri setiap bulan di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Putrajaya.

Mahkamah menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes dan serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.