
Peguam Mahathir Mior Nor Haidir Suhaimi memaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong bahawa IJN menghantar surat kepada mahkamah bagi memberi tahu anak guamnya tidak sihat untuk menghadiri perbicaraan.
“Beliau cuti sakit hingga Sabtu ini. Kami memohon tarikh perbicaraan baru ditetapkan,” kata Mior.
Mahathir, 98, mendapatkan rawatan di IJN pada 26 Jan lalu.
Pada bulan lalu, Gan menetapkan perbicaraan selama empat hari bermula hari ini.
Dalam prosiding hari ini, Gan berharap tarikh baharu perbicaraan dapat ditetapkan seawal mungkin.
Peguam Zahid, Shahrul Fuzli mencadangkan perbicaraan bermula pada Oktober tetapi Gan mahu perbicaraan lebih awal.
“Kita boleh lapangakan kes lain untuk perbicaraan ini. Mahathir mungkin plaintif paling tua di mahkamah ini,” katanya.
Beliau kemudiannya menetapkan tarikh 19 Julai ini untuk Mahathir memberi keterangan sebagai saksi. Tarikh lain adalah 26 hingga 27 Ogos dan 29 hingga 30 Okt ini.
Mior berkata, anak lelaki Mahathir, Mukhriz antara saksi yang akan dipanggil sebelum plaintif menutup kes.
Shahrul berkata, Zahid dan beberapa saksi lain yang identitinya tidak didedahkan di mahkamah akan dipanggil defenden.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mahathir mendakwa Zahid memfitnahnya ketika mesyuarat bahagian Umno di Kelana Jaya pada 30 Jul 2017.
Mahathir mendakwa kenyataan itu bertujuan membayangkan beliau bukan dilahirkan Melayu atau Islam, dan nama asal didakwa sebagai “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty”.
Dalam pernyataan pembelaannya, Zahid berkata nama “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty” itu merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat dari salinan lama satu kad pengenalan.