Menara MBJB terima ancaman bom palsu

Menara MBJB terima ancaman bom palsu

MBJB berkata ancaman bom palsu itu dihantar menerusi emel pada pagi tadi.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat berkata pemeriksaan di seluruh 22 tingkat Menara MBJB itu tidak menemui sebarang objek mencurigakan. (Gambar SCM Southern Corridor Malaysia)
PETALING JAYA:
Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengesahkan ancaman bom yang diterima pengurusan bangunan berkenaan menerusi emel pagi tadi adalah palsu.

Dalam kenyataan, MBJB berkata pihaknya membuat laporan di IPD Johor Bahru Selatan selepas menerima maklumat ancaman bom dihantar individu dikenali sebagai ‘Takahiro Karasawa’ menerusi emel.

Menurutnya, arahan pengosongan bangunan dan berkumpul di lokasi menunggu dikeluarkan kepada seluruh anggota MBJB dan orang awam di lokasi kira-kira jam 12 tengah hari tadi sehingga pemeriksaan selesai dilaksanakan oleh pihak polis.

“Lanjutan pemeriksaan menyeluruh dari pihak polis, anggota MBJB dibenarkan kembali semula ke pejabat jam 2 petang tadi.

“Pihak polis juga mengesahkan ancaman yang diterima adalah palsu dan Menara MBJB selamat untuk beroperasi,” menurut MBJB dalam kenyataan, sambil menambah premis itu telah beroperasi semula.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat berkata pemeriksaan di seluruh 22 tingkat Menara MBJB itu tidak menemui sebarang objek mencurigakan.

Menara MBJB menempatkan lebih 1,000 pekerja dan menggantikan kompleks lama yang berusia lebih 50 tahun.

Reka bentuk penempatan kakitangan MBJB itu setanding menara pencakar langit, Burj Khalifa kerana diilhamkan firma arkitek yang sama dengan mercu tanda Emiriah Arab Bersatu itu.

Pada 14 Okt tahun lalu, pengunjung pusat membeli belah Sogo Midvalley Southkey Johor Bahru turut berdepan situasi cemas apabila menerima ancaman bom palsu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.