Mampukah kerajaan terus bayar pencen?

Mampukah kerajaan terus bayar pencen?

Peruntukan tahunan kerajaan bagi bayaran pencen meningkat lima kali ganda sejak 2005.

Kerajaan perlu membelanjakan hampir RM32 bilion bagi bayaran pencen tahun ini dengan jumlah itu dijangka mencapai RM40 bilion pada 2030. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Populasi negara yang kian menua mencetuskan kebimbangan sama ada Malaysia masih mampu menanggung kewajipan pembayaran pencen kepada pesara kerajaan.

Ketika ini, tanggungan kerajaan pusat bagi bayaran pencen hampir RM32 bilion, lebih 10% daripada unjuran perbelanjaan operasi (opex) RM303.8 bilion.

FMT meninjau nilai pembayaran pencen sejak dua dekad lalu berdasarkan laporan fiskal dan ekonomi tahunan Kementerian Kewangan, termasuk ucapan ketika pembentangan belanjawan.

Berapa jumlah kerajaan bayar pesara?

Analisis FMT melibatkan data sejak dua puluh tahun lalu mendapati berlaku penambahan lima kali ganda bagi bayaran pencen tahunan, daripada RM6 bilion pada 2005 kepada RM32 bilion tahun ini.

Antara 2005 hingga 2015, tanggungan pencen meningkat berganda hampir RM18.87 bilion, dengan lonjakan terbesar (RM3.38 bilion) berlaku antara 2013 (RM14.84 bilion) dan 2014 (RM18.22 bilion).

Pada 2016, kos bayaran pencen kerajaan dan perkara berkaitan melepasi RM20 bilion. Enam tahun kemudian, pada 2022, ia sudah menjangkau RM30 bilion.

Secara purata, tanggungan pencen meningkat RM5.65 bilion setiap lima tahun. Jika ini berterusan, dijangka tanggungan pencen akan melonjak kepada RM40 bilion pada 2030.

Pencen berbanding opex

Sejak hampir sedekad lalu, hampir separuh opex dibelanja membayar gaji penjawat awam dan kewajipan bayaran pencen kepada pesara kerajaan.

Pencen dan kos berkaitan berlegar lingkungan 6-7% opex, namun meningkat sehingga 10% pada 2016 dan kekal pada tahap itu sehingga kini.

Gabungan perbelanjaan pencen dan gaji melepasi 40% opex pada 2015 dan terus melonjak tahun berikutnya, namun sedikit menurun pada 2019. Angka berkenaan meroket kepada 49.2% dan 49.7% masing-masing pada opex 2020 dan 2021.

Sejak 2010, kerajaan juga menyalurkan bantuan khas kepada pencen secara tahunan, bermula RM500 setiap tahun, namun kemudian dikurangkan kepada RM250 bagi setiap pesara.

Skim gaji penjawat awam juga ada disemak dengan pencen pesara dikira berdasarkan tempoh khidmat dan gaji terakhir.

Berapa jumlah pesara kerajaan kini?

Jumlah rasmi pesara kerajaan sukar ditemui. Bagaimanapun, menurut laporan tahunan ekonomi Kementerian Kewangan, terdapat 590,000 pesara pada 2010. Jumlah itu meningkat sekitar 853,000 pada 2020.

Pada 2023, laporan fiskal Kementerian Kewangan mengunjurkan terdapat lebih 921,500 pesara dengan jumlah itu diramal bertambah kepada 936,000 tahun ini.

Peningkatan ini berkait dengan pertambahan jumlah tenaga kerja penjawat awam, di mana berjumlah 1.24 juta pada 2010 kepada 1.6 juta ketika ini.

Bolehkah kerajaan kekal bayar pencen?

Dengan lebih ramai penjawat awam akan bersara pada masa depan, timbul persoalan sama ada kerajaan berkemampuan menanggung pembayaran pencen itu?

Ahli ekonomi, Yeah Kim Leng dari Sunway University, berkata membenarkan tanggungan bayaran pencen berkembang pada kadar cepat akan membebankan kewangan kerajaan.

Bagi meredakan peruntukan besar bayaran pencen, Yeah berkata, kerajaan perlu meneroka kaedah pendapatan baharu atau membuat agihan semula melibatkan sejumlah besar hasil pendapatan tetap.

Katanya, pilihan kedua memerlukan “beberapa bentuk pemotongan dalam sektor lain ekonomi, terutama kesihatan, pendidikan, termasuk juga belanja ketenteraan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.