
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Mohd Iszuadi Muhamad Hassan, dalam kenyataannya mengesahkan kejadian membabitkan wanita warga China, Wang Zhenzhen, 32 dan rakan lelakinya, Jiang Peng, 39, yang berasal dari Saint Kitts and Nevis itu.
Menurutnya, pihaknya yang menerima maklumat dari Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching pada 4.23 pagi kemudiannya menghantar sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Bot Kilat 44 ke lokasi.
“Hasil maklumat awal diterima, kapal layar itu berada pada kedudukan 1.5 batu nautika dari Tenggara Muara Jepak, yang mana sedang bergerak dari arah Pelabuhan Bintulu menuju Lungsod Ng Bacolod di Filipina.
“Maritim Malaysia Bintulu mengaktifkan Op Carilamat kapal layar Suntess dan sebaik tiba, pasukan menjumpai kapal terbabit tersadai di tengah laut dengan kedua-dua mangsa selamat.
“Pasukan kemudian membantu mengepam air keluar dari badan kapal bagi mengelakkannya tenggelam sebelum ia diiring Bot Kilat 44 menuju Jeti PGM Jepak dan sampai di sana pada 2 petang,” katanya menurut Berita Harian.