Tak praktikal, kata pendidik berkait cadangan pinda Akta Pendidikan wajibkan BI

Tak praktikal, kata pendidik berkait cadangan pinda Akta Pendidikan wajibkan BI

Bekas ketua pengarah pendidikan berkata kekurangan guru terlatih dan kepelbagaian landskap pendidikan adalah cabaran utama.

Anuar Ahmad berkata kerajaan sepatutnya memfokuskan untuk meningkatkan keberkesanan mengajar Bahasa Melayu dan Inggeris di sekolah.
PETALING JAYA:
Seorang bekas pegawai pendidikan dan seorang pendidik menolak cadangan seorang timbalan menteri Sarawak yang mahu Akta Pendidikan dipinda bagi memastikan pelajar mahir dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Bekas ketua pengarah pendidikan, Alimuddin Mohd Dom, bimbang tentang kecukupan guru yang terlatih, terutamanya di kawasan luar bandar dan terpencil, untuk mengajar Bahasa Inggeris secara berkesan.

“Bahasa Inggeris sama seperti mata pelajaran seperti Matematik dan Sains di mana pelajar perlu diajar dan dibimbing oleh guru,” katanya kepada FMT.

“Tanpa guru, pelajar akan mendapati ia sukar untuk diikuti. Berbeza dengan mata pelajaran seperti Sejarah, Pengajian Agama atau Geografi, (di mana) pelajar boleh memahami konsep atau topik dengan membaca buku teks atau buku rujukan.”

Jika tujuannya adalah menjadikan lulus Bahasa Inggeris sebagai keperluan untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga, Alimuddin berkata kepelbagaian sekolah dan pelajar di pelbagai tempat juga perlu dipertimbangkan.

“Pendekatan ‘satu ukuran untuk semua’ perlu dipertimbangkan kerana kita mempunyai lebih daripada 10,000 sekolah dan lebih daripada 5.4 juta pelajar di pelbagai jenis tempat,” katanya.

Alimuddin diminta untuk mengulas cadangan Timbalan Menteri Pendidikan Sarawak Dr Annuar Rapaee yang mahu Kementerian Pendidikan meminda Akta Pendidikan untuk mewajibkan semua pelajar menguasai Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, serta bahasa ibunda masing-masing.

Menurut Borneo Post, Annuar berkata ini akan mengelak janji Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris pelajar daripada berakhir sebagai “janji kosong” semata-mata.

Sementara itu, Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada meningkatkan keberkesanan pengajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di sekolah.

Untuk berbuat demikian, katanya, beberapa bentuk penilaian diperlukan untuk mengukur kecekapan bahasa pelajar, terutamanya selepas UPSR dimansuhkan.

“Atas sebab itu, pada pandangan saya, kita perlu satu bentuk penilaian untuk kecekapan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada akhir Tahun 3,” kata Anuar, yang juga setiausaha kluster pendidikan dan sumber manusia Majlis Profesor Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.