Komen ‘Black Friday’ Takiyuddin memudaratkan negara, kata SIS

Komen ‘Black Friday’ Takiyuddin memudaratkan negara, kata SIS

Kenyataan sedemikian menyebarkan tanggapan bahawa agama dieksploitasi untuk kepentingan politik, kata NGO itu.

Takiyuddin Hassan semalam dilaporkan berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu meletakkan undang-undang syariah di negeri lain dalam ‘keadaan yang amat bahaya dan kritikal’.
PETALING JAYA:
Tindakan menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam sebagai “Jumaat yang hitam” (Black Friday) bagi undang-undang syariah dan umat Islam di negara ini mengelirukan dan memudaratkan negara, kata Sisters In Islam (SIS).

NGO hak asasi manusia itu membidas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan kerana menggunakan istilah itu sebagai respons kepada keputusan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 atas alasan ia bercanggah dengan perlembagaan.

“Kenyataan sebegini, terutamanya daripada ahli profesional guaman, menyebarkan naratif agama dieksploitasi untuk kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan.

Sebaliknya, SIS mengalu-alukan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, yang menurutnya menekankan keperluan agar DUN mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Kumpulan itu berkata, keputusan majoriti 8-1 itu mengesahkan undang-undang diguna pakai secara sejagat, memastikan kesaksamaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama mahupun etnik.

Tambahnya, undang-undang syariah tidak berdepan sebarang ancaman dan ia menyeru semua pihak untuk berusaha ke arah memupuk semangat perpaduan nasional.

“Keputusan hari ini menandakan kemenangan bagi Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara, menekankan prinsip kedaulatan undang-undang yang sama rata untuk semua rakyat.

“Tidak boleh diterima apabila ahli politik senior menyebarkan kenyataan yang mengelirukan. Sebaliknya, tugas mereka adalah menyatupadukan rakyat,” kata SIS, memberi amaran tentang bahaya memupuk ketakutan dan ketidakpercayaan dalam masyarakat di sebalik kebebasan beragama.

SIS menambah, isu yang menjadi pertikaian adalah penggubal undang-undang negeri melampaui bidang kuasa mereka, bukan ancaman kepada prinsip Islam.

“Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan komitmen mahkamah untuk menegakkan perlembagaan, memastikan keadilan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

“Beliau juga menekankan bahawa undang-undang yang dicabar bukan (peraturan) yang disyariatkan oleh Allah, tetapi oleh DUN yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah.”

SIS berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan menandakan peristiwa penting dalam usaha Malaysia mencapai keadilan dan kesaksamaan. Ia juga menjadi peringatan tentang kepentingan menegakkan prinsip perlembagaan dan menghormati kedaulatan undang-undang, tambahnya.

Takiyuddin semalam dilaporkan berkata, pihaknya “amat sedih” dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, menyifatkannya sebagai Jumaat yang hitam bagi undang-undang syariah.

Keputusan sedemikian, katanya, meletakkan undang-undang syariah di negeri lain dalam “keadaan yang amat bahaya dan kritikal”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.