
Beliau turut menjelaskan inisiatif syarikat bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) itu juga memudahkan majikan yang tidak lagi perlu bersusah payah menghantar laporan bulanan selain melindungi pekerja kerana turut menawarkan insurans percuma.
Bercakap kepada FMT, Rafik berkata e-wages diperkenalkan sebelum pandemik Covid-19, dan digunakan 95% daripada 5,800 syarikat atau majikan yang menggunakan perkhidmatan CLAB.
Malah, katanya, sistem itu turut disokong kedutaan negara sumber pekerja kerana kurangnya risiko kes kegagalan pembayaran gaji.
“Kita nak pastikan pekerja tidak dianiaya…sistem ini telah dilaksanakan sebelum Covid-19 cuma tak wajibkan lagi waktu itu untuk memastikan tiada masalah.
“Banyak kes majikan abaikan pekerja asing yang menyebabkan kedutaan ‘pening’, jadi selepas PKP dan sempadan dibuka…kita wajibkan,” katanya turut menjelaskan masih ada kelonggaran diberikan jika majikan enggan menggunakannya.
“Tetapi setiap bulan kena hantar laporan bayaran gaji, tetapi ia hanya menyusahkan.”
Rafik mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma), Kris Foo Yin Choo, menggesa kerajaan mengkaji semula “arahan” CLAB yang didakwa mewajibkan majikan membayar gaji menggunakan sistem e-wages.
Beliau mendakwa, ini kerana Seksyen 25 Akta Kerja memberikan majikan pilihan menggunakan pembayaran diperakui undang-undang itu selain dikatakan melangkaui kuasa menteri sumber manusia.
Menyentuh dakwaan majikan yang akan disenarai hitam jika tidak menggunakan sistem itu, Rafik menjelaskan ia sebenarnya “ditujukan” kepada syarikat tidak menghantar laporan bulanan kerana memilih membayar gaji secara sendiri.
“Senarai hitam hanya sementara apabila kita dapat aduan (pekerja) sehingga mereka datang beritahu masalahnya mengapa tak boleh guna e-wages.
“Bukan senarai hitam selama-lamanya, kita hendak maklum balas mereka dan kalau tiada notis mungkin mereka hanya ambil sambil lewa,” katanya mengulas kebimbangan majikan disenarai hitam menyebabkan mereka tidak dapat memperbaharui permit pekerja.
CLAB ditubuhkan oleh Jawatankuasa Kabinet Berhubung Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin pada 2003, sebagai pusat pemudah cara dalam pengambilan pekerja asing bagi sektor pembinaan, dan menjadi anak syarikat CIDB sejak 2017.