Petisyen Nik Elin: Hamzah mohon menghadap Agong, Sultan Selangor

Petisyen Nik Elin: Hamzah mohon menghadap Agong, Sultan Selangor

Hamzah Zainudin berkata beliau mahu menyampaikan suara hati rakyat dan cadang penyelesaian.

Hamzah Zainudin berkata keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan menunjukkan ada kelemahan dalam bidang kuasa.
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin akan memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi menyerahkan memorandum khas susulan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ahli Parlimen Larut itu juga mahu menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

“(Ia) bagi menyembah maklum suara hati rakyat serta langkah-langkah penyesuaian kepada pemerkasaan yang perlu dilunaskan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan memihak petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Panel sembilan hakim, yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang membuat penghakiman bertentangan berpendapat DUN mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu berkata perkembangan itu menunjukkan ada kelemahan dalam bidang kuasa berkaitan dengan hak menganut dan mengamal majoriti rakyat Malaysia.

“Kesan daripada keputusan ini akan menggugat enakmen jenayah syariah di seluruh negeri dalam negara kita yang tercinta ini. Ia akan mendedahkan enakmen negeri-negeri ini kepada risiko pembatalan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.