MAIPs bawa kes penukaran agama ke Mahkamah Persekutuan

MAIPs bawa kes penukaran agama ke Mahkamah Persekutuan

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis berkata keputusan awal mahkamah tertinggi tidak bergantung kepada teks Bahasa Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada 10 Jan lalu keputusan Mahkamah Rayuan berpihak kepada Loh Siew Hong dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan penukaran agama tiga anaknya yang masih bawah umur kepada Islam secara sebelah pihak, empat tahun lalu mengikut perlembagaan.
PUTRAJAYA:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan mahkamah tertinggi pada 2018 bahawa penukaran agama kanak-kanak bawah umur secara sebelah pihak adalah tidak mengikut perlembagaan tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa dalam perkahwinan sivil.

Permohonan kebenaran semakan itu difailkan semalam untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan diputuskan pada 10 Jan lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hadhariah Syed Ismail membenarkan rayuan ibu tunggal Loh Siew Hong dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan penukaran agama unilateral tiga anaknya yang masih kecil kepada agama Islam di Perlis empat tahun lalu, sebagai berperlembagaan.

Bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, kebenaran diberikan hanya jika terdapat persoalan perlembagaan atau undang-undang baharu yang mempunyai kepentingan awam dibangkitkan buat kali pertama.

Pemohon memfailkan empat persoalan undang-undang dikatakan mempunyai merit untuk pendengaran penuh rayuan, termasuk sama ada keputusan dalam kes Indira terkhilaf kerana mahkamah tidak mengikut teks Bahasa Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kes Indira Gandhi, lima panel hakim mahkamah tertinggi sebulat suara memutuskan bahawa penukaran agama anak-anak memerlukan persetujuan kedua ibu bapa, walaupun jika seorang pasangan kemudian memeluk Islam.

Hakim Zainun Ali, yang menyampaikan penghakiman sebulat suara mahkamah tertinggi pada 28 Jan 2018 berkata, membenarkan seorang kanak-kanak bertukar agama dengan persetujuan hanya seorang ibu bapa akan menimbulkan kesulitan lain.

Dalam keputusan Mahkamah Rayuan bulan lalu, Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim Hashim Hamzah dan Azhahari Kamal Ramli, berkata hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana tidak mengikuti prinsip undang-undang ditetapkan dalam kes Indira.

Hadhariah juga berkata panel berpandangan tiada keterangan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan teks bahasa Melayu Perlembagaan sebagai teks berautoriti.

“Justeru, kami mesti mengikuti teks bahasa Inggeris dalam mentafsir Perkara 12(4) Perlembagaan,” katanya dengan menyatakan perkataan “parent” dalam teks bahasa Inggeris merujuk ibu bapa.

Anak-anak Loh secara sebelah pihak diislamkan oleh bekas suami, Muhammad Nagahswaran Muniandy di Perlis pada 2020.

Loh kemudian membawa perkara itu ke mahkamah, bagi mendapatkan pengisytiharan berkait peruntukan enakmen negeri itu yang membenarkan ibu atau bapa mengislamkan kanak-kanak bawah umur sebagai tidak berperlembagaan.

Dia juga memohon pengisytiharan dua anak kembar perempuannya, berusia 15 tahun dan anak lelaki, berusia 11 tahun masih beragama Hindu.

Mei lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Loh, dengan menyatakan tiada bukti tiga anaknya itu berhenti mengamalkan Islam selepas dia mendapat hak penjagaan mereka, mengambil kira rayuan semasa.

Dalam penghakimannya, Hakim Wan Farid Wan Salleh turut berkata, pendaftar mualaf negeri Perlis berpuas hati bahawa keperluan undang-undang Seksyen 107(1) Enakmen Perlis 2006 telah dipatuhi dan anak-anak itu melafaz syahadah dengan rela hati.

Bagaimanapun, keputusannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.