
Panel sembilan hakim, yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang membuat penghakiman bertentangan berpendapat DUN mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
Hakim lain bersidang terdiri Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Zabidin Diah dan Hakim Nallini Pathmanathan, Mary Lim, Harmindar Singh Dhaliwal, Nordin Hassan serta Abu Bakar Jais.
Peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman memfailkan cabaran perlembagaan itu pada 2022 untuk mempersoalkan kuasa DUN Kelantan meluluskan enakmen itu.
Mereka berkata, kuasa menggubal undang-undang berhubung perkara jenayah hak eksklusif Dewan Rakyat dan DUN hanya boleh meluluskan undang-undang berkaitan akidah Islam.
Majoriti 8 ahli panel itu bagaimanapun tidak membatalkan baki dua peruntukan yang menjadi subjek cabaran, iaitu Seksyen 13 dan 30 enakmen itu, yang diputuskan pada 10 Jan tahun ini.
Seksyen 13 memperkatakan mengenai penjualan atau pemberian kanak-kanak kepada orang bukan Islam dan orang Islam yang keji akhlaknya, manakala Seksyen 30 menyentuh kata-kata yang memecahkan keamanan.
Tengku Maimun berkata kes itu bukan bertujuan untuk menggugat agama Islam atau mahkamah syariah tetapi semata-mata untuk mempersoalkan sama ada sebuah DUN boleh meluluskan undang-undang tanpa melampaui kuasa yang diberikan kepadanya oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Mahkamah syariah tidak ‘terkubur’ seperti yang didakwa oleh (peguam) Yusfarizal Yussoff,” tambahnya.
Terdahulu, lebih 500 penyokong PAS dan orang awam membanjiri perkarangan Istana Kehakiman, menyertai ‘Himpunan Selamatkan Syariah’ bagi mempertahankan undang-undang syariah dicabar pihak tertentu, susulan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya itu.
Himpunan yang turut disertai pemimpin pembangkang serta badan bukan kerajaan (NGO) itu dimulakan dengan solat hajat di perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj).
Antara yang kelihatan ialah Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Naib Presiden PAS Idris Ahmad, bekas Menteri Besar Kelantan Ahmad Yaakob, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadli Shaari termasuk Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman dan Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin.