‘Itu palsu’, kata SPRM berkait kenyataan siasat Dr M, Daim

‘Itu palsu’, kata SPRM berkait kenyataan siasat Dr M, Daim

Terdahulu, seorang pengguna X memuat naik kenyataan media kononnya dibuat SPRM yang meminta bantuan awam dalam siasatan terhadap Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin.

SPRM menerusi hantaran di Facebook menjelaskan tangkap layar kenyataan media kononnya berkait siasatan terhadap Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin disebarkan di aplikasi X adalah palsu.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan ada membuat kenyataan media ‘menggesa bantuan orang awam’ untuk membantu siasatan membabitkan Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin.

Agensi anti rasuah itu menerusi hantaran di Facebook menjelaskan tangkap layar kenyataan media disebarkan di aplikasi X adalah palsu.

Terdahulu, seorang pengguna X memuat naik kenyataan media kononnya dibuat SPRM yang meminta bantuan orang ramai dalam siasatan terhadap dua bekas pemimpin negara terbabit.

Mengikut surat palsu itu, Mahathir dan Daim disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegah Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 29 Jan lalu, Daim, bekas menteri kewangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengisytiharkan harta.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 kerana gagal mengisytiharkan pemilikannya dalam 38 syarikat, 19 bidang tanah di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan di sini, serta enam hartanah.

Daim juga didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan akaun Amanah Saham Nasional, Amanah Saham Berhad dan tujuh kereta mewah.

Sebelum itu, isterinya Naimah Khalid didakwa di Mahkamah Sesyen atas dakwaan gagal mematuhi notis pengisytiharan aset SPRM.

Sementara itu, dua anak Mahathir, Mirzan dan Mokhzani diminta mengisytiharkan harta oleh SPRM mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.