
Tertuduh Rozaini Abu Hassan, 48; Muhammad Mustaqim Ismail, 35; Muhamad Syakir Haikal Hasli, 24; Mohd Nurizuan Ahmad Suhaimi, 38; dan Muhamad Khusairi Ahamad, 30, membuat pengakuan sedemikian selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Kelima-lima tertuduh secara bersama didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap seorang lelaki berusia 28 tahun, mendorong mangsa menyerahkan wang RM4,500.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Permatang Tinggi menghala ke Simpang Ampat dalam daerah Seberang Perai Tengah, pada 10.15 malam 1 Feb lepas, lapor Harian Metro.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya negeri Mohd Nordin Ismail manakala kesemua tertuduh diwakili peguam VS Kumar.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan syarat tambahan, iaitu semua tertuduh tidak dibenarkan mendekati saksi sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam memohon supaya semua anak guamnya diberi jaminan munasabah kerana masing-masing perlu menanggung isteri, termasuk yang sarat mengandung, serta anak-anak yang masih kecil termasuk orang kurang upaya (OKU).
Mahkamah kemudian menetapkan kesemua tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin.
Kes disebut semula pada 15 Mac depan untuk serahan dokumen.
Terdahulu dilaporkan lima anggota polis yang bertugas di IPD Seberang Perai Tengah ditahan dan direman kerana dipercayai melakukan pemerasan wang terhadap pekerja kilang yang didakwa memiliki dadah.
Kesemua anggota polis itu ditahan susulan laporan yang dibuat oleh mangsa.