Polis nafi cuba intimidasi Bersih

Polis nafi cuba intimidasi Bersih

Ketua Polis Petaling Jaya Fakhrudin Abdul Hamid berkata anggotanya berhimpun di luar pejabat pemerhati pilihan raya itu untuk menerima arahan tugas rondaan.

Dalam hantaran di X semalam, Bersih menyoal sama ada kehadiran polis di luar pejabatnya bermaksud sebagai tindakan intimidasi. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa menafikan cuba melakukan intimidasi terhadap Bersih apabila anggota polis berhimpun di luar ibu pejabat kumpulan pemerhati pilihan raya itu, semalam.

Gambar anggota dan dua trak polis serta beberapa motosikal di luar pejabat Bersih, di mana sidang media diadakan mengenai pembaharuan oleh kerajaan, mencetuskan persoalan apabila tersebar di media sosial.

Bersih memuat naik gambar anggota polis berkenaan di X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter), dan meletakkan “tag” bagi Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Mereka turut menyoal sama ada kehadiran polis itu bertujuan melakukan intimidasi terhadap kumpulan berkenaan.

Ketua Polis Petaling Jaya, Fakhrudin Abdul Hamid, berkata anggotanya berhimpun di lokasi itu untuk menerima arahan tugas meronda rutin.

Mereka kemudian bersurai selepas menerima arahan masing-masing, katanya.

“Kami tahu tentang sidang media Bersih, tetapi tidak berinteraksi dengan penganjur sepanjang acara tersebut.

“Kehadiran mereka tiada kaitan dengan sidang media Bersih semalam. Kami di sana untuk menjalankan tugas polis secara rutin demi memastikan keselamatan orang ramai dan persekitaran,” katanya kepada FMT.

Terdahulu hari ini, kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengkritik kehadiran polis itu.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, menyoal keperluan untuk mengerahkan 10 anggota, dua kenderaan, dan pelbagai motosikal polis untuk sidang media, yang disifatkan sebagai jelas satu tindakan intimidasi.

Bagaimanapun, Fakhrudin berkata polis mempunyai hak untuk berhimpun di mana-mana tempat atau lokasi bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Perkara ini dengan jelas dinyatakan bawah Akta Polis 1967 dan kami hanya berada di sana sebagai persiapan, sekiranya berlaku ketegangan.

“Tidak perlu ada sebab khusus untuk kehadiran polis di luar pejabat Bersih,” katanya.

Dalam sidang media itu¸ Bersih memberi amaran kepada kerajaan bahawa ia tidak akan teragak-agak menganjurkan protes jalanan lagi sekiranya kerajaan gagal memenuhi agenda pembaharuan institusi dan politik dijanjikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.