Letih, lebih kerja punca lupa anak dalam kereta, kata pakar

Letih, lebih kerja punca lupa anak dalam kereta, kata pakar

Kementerian kesihatan mesti meneliti keadaan melibatkan pekerja penjaga kesihatan ini untuk mengelak kejadian berulang, kata Persatuan Perubatan Malaysia.

Persatuan Perubatan Malaysia berkata, ibu bapa perlu mencari cara untuk mengingatkan diri bahawa anak mereka berada dalam kereta. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Pihak berkepentingan dalam sektor penjagaan kesihatan mengenal pasti keletihan dan lebih kerja berkemungkinan menjadi punca dua kes baru-baru ini melibatkan anak kakitangan kesihatan yang ditinggalkan dalam kereta.

Dr Azizan Abdul Aziz, presiden Persatuan Perubatan Malaysia, menggesa kementerian kesihatan meneliti isu itu untuk mengelak kejadian berulang.

“Keletihan mampu menyebabkan seseorang hilang tumpuan, ingatan, dan pertimbangan. Bagi mengelak kejadian serupa, kami menggesa kementerian kesihatan melihat sama ada keletihan akibat terlebih kerja mungkin menyumbang kepada masalah itu,” katanya kepada FMT.

Azizan turut menasihati orang ramai supaya memastikan mereka mendapat rehat mencukupi sebelum memandu, selain menggesa ibu bapa mencari cara mengingatkan sendiri sekiranya anak mereka berada dalam kereta.

“Ada aplikasi mudah alih yang direka untuk tujuan ini dan patut dipertimbangkan untuk digunakan. Buka deringan telefon bimbit dan tetapkan isyarat penggera untuk mengingatkan diri supaya memeriksa tempat duduk belakang kenderaan,” katanya.

Bulan lalu, seorang pekerja penjaga kesihatan meninggalkan anak perempuannya berusia lima tahun dalam kereta di Hospital Shah Alam, dan hanya menyedari perkara itu apabila suaminya menghubunginya pada 6 petang sama. Ketika itu kanak-kanak berkenaan telahpun meninggal dunia.

Dalam kejadian berasingan pada Oktober lalu, seorang doktor meninggalkan bayinya berusia lapan bulan dalam kereta selama 10 jam kerana menyangka anak itu telah dihantar ke pusat penjagaan.

Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar Shamsul Bahari Shamsudin, berkata selain jadual kerja sibuk, pekerja penjagaan kesihatan turut bekerja tempoh lama, selain sentiasa mengejar masa dan menghadapi kekurangan tenaga kerja.

“Tanggungjawab memberi keutamaan kepada orang awam memberi kesan terhadap isu kekeluargaan,” katanya dengan menambah golongan itu juga tidak mendapat tidur mencukupi.

Selain menambah tenaga kerja, pensyarah Universiti Malaysia Sabah itu mencadangkan pekerja berkenaan diberi waktu kerja lebih fleksibel untuk mengurangkan keletihan dan memberi mereka masa menyelesaikan isu peribadi.

Mariani Nor, presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak menggalakkan ibu bapa dan penjaga kanak-kanak supaya sering saling memaklumkan di mana anak mereka berada.

Katanya, pekerja penjagaan kesihatan juga mesti dibenarkan menyimpan telefon bimbit dalam poket ketika bertugas walaupun sibuk dengan pesakit, sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ada kecemasan.

“Dalam era moden ini, telefon bimbit patut dibenarkan di mana saja asalkan deringan dipadamkan dan dibiarkan dengan fungsi getaran.

“Ini akan membantu mengelak kejadian seperti itu, sekiranya satu pihak perlu bertanyakan yang lain mengenai anak terlibat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.