
Hakim Vazeer Alam Mydin Meera yang mempengerusikan tiga anggota panel rayuan berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan semua unsur tuduhan bunuh itu.
“Kami mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Rayuan ini ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi disahkan tetapi atas alasan yang berbeza,” katanya.
Turut mendengar rayuan itu adalah Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azhahari Kamal Ramli.
Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Samirah, 49, dan dua remaja yang kini berusia 21 dan 18 tahun, atas pertuduhan membunuh Nazrin, 45, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Ketiga-tiga individu itu dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi, 14 Jun 2018.
Vazeer berkata hakim perbicaraan gagal mengambil kira keterangan ahli patologi forensik, Dr Siew Sheue Feng, yang memeriksa tubuh Nazrin tidak lama selepas kematiannya.
Pihak pembelaan berkata kebanyakan kecederaan yang dialami si mati konsisten dengan corak letupan dan bukannya penggunaan tukul, seperti yang didakwa pihak pembelaan.
Vazeer berkata beliau dan anggota sidang hakim lain tidak terima keterangan pegawai bomba, Aznor Sheda Samsudin, berkenaan penemuan petrol dalam bilik si mati.
Katanya, Aznor menjalankan ujiannya secara tergesa-gesa dan tidak mengikut tatacara dan protokol antarabangsa.
Beliau dan anggota sidang hakim lain juga tidak terima kebakaran sengaja dimulakan.
Katanya lagi, kes pihak pendakwaan tidak sempurna kerana tidak cuba mendapatkan keterangan si warga Indonesia walaupun pegawai penyiasat akui dia didapati bekerja di sebuah kedai kopi di Kuching.
Sidang hakim turut ambil maklum bahawa tidak ada hubungan buruk antara Samirah dan Nazrin.
Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Abdul Karim, Amril Johari, dan Nur Sabrina Zuhairi tampil bagi pihak pendakwaan, manakala Shafee Abdullah, Rahmat Hazlan, Rahmat Abu Bakar, dan LS Leonard mewakili Samirah dan dua remaja terbabit.