
Mirzan dan Mokhzani dalam kenyataan berkata mereka telah diminta agensi anti rasuah itu untuk mengisytiharkan aset dari 1981, iaitu ketika Mahathir mula menjadi perdana menteri.
Menurutnya, proses mengumpul segala maklumat sedang dibuat dengan nasihat serta bantuan pihak berkaitan.
“Untuk mengelakkan salah faham, lebih baik semua pihak mengelak daripada memberi kenyataan berhubung kes ini lebih-lebih lagi kami tidak dimaklumkan siasatan khusus selain daripada yang berkaitan dengan bapa kami.
“Tugas mengumpul maklumat selama 43 tahun ini adalah mustahil dan kami memohon kesabaran dalam memenuhi permintaan SPRM,” katanya dalam kenyataan.
Mereka mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada Selasa yang memaklumkan kedua-duanya belum mengisytiharkan harta seperti diminta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Pada 18 Jan lalu, SPRM mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan semua aset alih dan tidak alih dalam pegangannya di dalam dan luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.
Perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.