Rokok, arak hampir RM100 juta dirampas di Sarawak

Rokok, arak hampir RM100 juta dirampas di Sarawak

Polis turut menahan lapan lelaki berusia 22 hingga 67 tahun di tiga premis di sekitar Kuching semalam.

Mancha Ata melancarkan Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina di Dewan Terbuka IPK Sarawak hari ini. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Polis Sarawak merampas minuman keras dan rokok pelbagai jenis bernilai hampir RM100 juta dalam Op Taring Alpha di tiga lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mancha Ata berkata, dalam operasi menyasarkan aktiviti penyeludupan itu, lapan lelaki berusia 22 hingga 67 tahun ditahan di tiga premis di Jalan Setia Raja, Jalan Padungan dan Jalan Penrissen Batu 7 Padawan.

“Sebanyak 2,854 kotak rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang kebanyakan tamat tempoh dirampas dengan nilai keseluruhan RM98,717,342.11 termasuk cukai.

“Semua suspek direman antara dua hingga tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di IPK Sarawak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan sehingga lima tahun dan boleh didenda RM100,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.