
Ketua Kampung Orang Asli Sungai Ruil, Bah Long Siang, berkata penduduk membabitkan 17 keluarga diberi kunci dan dibenar memasuki kuarters TNB bermula Jumaat lalu.
“Kami berpindah dari dewan pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Sungai Ruil ke kuarters TNB pada 2 Feb. Lega apabila dipindahkan ke tempat lebih selesa.
“Terima kasih Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), TNB dan pihak bertungkus-lumus membantu,” katanya kepada FMT.
Bah berharap pihak berwajib mempercepatkan kerja baik pulih kawasan terjejas bagi membolehkan mereka kembali ke kediaman asal.
“Kami sangat berharap pembaikan cerun yang runtuh dan rumah rosak dibaiki segera,” katanya memaklumkan pihaknya diberitahu kerja pembaikan cerun mengambil masa 18 hingga 24 bulan.

Majlis penyerahan kunci kuarters TNB Sungai Ruil oleh Pengurus Besar TNB Pahang Baderul Sham Saad pada 5 Feb lalu turut dihadiri Ramli dan Ketua Pengarah Jakoa Sapiah Mohd Nor.
Sementara itu, Ramli memaklumkan 17 keluarga terbabit akan mendiami kuarters TNB sepanjang tempoh baik pulih tanah di penempatan mereka, dengan sewa bulanan ditanggung Jakoa.
Dalam perkembangan sama, menerusi kenyataan hari ini Jakoa berterima kasih kepada TNB yang menjalankan kerja baik pulih kuarters dengan nilai RM103,000 dan pengecualian deposit sewaan selama tiga bulan.
TNB juga memberi sumbangan periuk nasi elektrik bagi setiap ketua isi rumah (KIR) yang mendiami kuarters tersebut sehingga kerja pembaikan cerun tanah runtuh dijangka selesai pada November 2025.
Sebelum ini, FMT melaporkan penduduk terbabit masih tersadai di dewan orang ramai Kampung Sungai Ruil, selepas diarahkan bomba mengosongkan kediaman susulan penempatan mereka diancam tanah runtuh 12 Okt lalu.